Empat negeri bawah PN tubuh SG4, kongsi kekayaan

Empat negeri bawah PN tubuh SG4, kongsi kekayaan

DR. MAHATHIR Mohamad bersama Panel Penasihat SG4, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada sidang akhbar di sebuah hotel di Bangi, semalam. – UTUSAN/ILHAM ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Empat negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) me­nubuhkan syarikat SG4 Group Sdn. Bhd. (SG4) bagi memboleh­kan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu berkongsi kekayaan secara saksama.

Ketua Panel Penasihat Empat Kerajaan Negeri (SG4), Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, setiap negeri akan mempu­nyai 25 peratus pega­ngan dalam syarikat tersebut di mana segala hasil kekayaaan akan diagihkan sama rata.

“Kita akan usaha segala hasil yang kita dapat kemudian akan diagihkan supaya negeri yang ketinggalan jauh macam Perlis negeri itu pun akan dapat juga hasil daripada keempat-empat buah negeri.

“Umpamanya kita percaya industri nadir bumi ini satu punca kekayaan. Ada negeri kaya nadir bumi, ada negeri tidak. Jadi penubuhan syarikat ini akan membantu antara keempat-empat negeri.

“Kita juga hendak memajukan empat negeri ini supaya kita juga dapat nikmati daripada kekayaan negara,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak SG4 di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, SG4 juga bermatlamat untuk meningkatkan nilai pelaburan di empat negeri tersebut sama ada menarik pelabur tempatan atau luar negara.

Katanya, syarikat yang ditubuhkan itu hanya memberi tumpuan untuk pembangunan empat negeri berkenaan, bukannya membawa haluan lain daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kita bukan mahu ubah ke jalan lain, kita mahu tumpu kepada pembangunan empat negeri ini yang tidak dapat kekayaan yang sama berbanding negeri-negeri lain.

“Kita juga mahu majukan empat negeri ini supaya kita juga dapat nikmat kekayaan negara.

“Kita boleh cuba urus FDI (pelaburan langsung asing) dan kalau perlu dapatkan maklumat dan contoh dari negara-negara yang mempunyai model yang baik,” katanya.

Menurut Dr. Mahathir, lembaga pengarah SG4 akan dianggotai wakil setiap negeri.

“Sebagai contoh di Terengganu MB Incorporated, di Kelantan Perbadanan Menteri Besar Kelantan, begitu juga Kedah dan Perlis,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Menteri Besar SG4, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, syarikat Korea Selatan dan Jepun merupakan antara pelabur terawal dalam syarikat itu.

Menteri Besar Terengganu itu berkata, syarikat juga dalam perbincangan untuk membawa masuk pelaburan syarikat China.

Katanya, pembangunan ne­geri-negeri Pantai Barat kini membuka ruang kepada ne­geri-negeri SG4 yang masih memiliki zon industri lebih luas dan kos lebih efektif untuk menarik pelaburan-pelaburan berpotensi tinggi.

“Entiti korporat ini dimiliki dengan pegangan hakmilik yang sama rata setiap negeri dan bekerjasama dengan GLC sedia ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×