Kekalkan status quo DUN Rembia, buang masa, wang jika PRK

Kekalkan status quo DUN Rembia, buang masa, wang jika PRK

MUHAMMAD JAILANI KHAMIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) Melaka disaran mengekalkan status quo Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia berikutan Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi itu hanya dilihat membazir masa dan wang jika diadakan.

Penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, ini kerana DUN Melaka akan dibubarkan dua tahun lagi.

Jika kekosongan diumumkan ketika ini katanya, maka PRK perlu diadakan kerana usia DUN Melaka masih berbaki kira-kira empat bulan lagi untuk mencapai tempoh tiga tahun sejak sidang DUN pertama pada 27 Disember 2021.

“Sekiranya Kerajaan Negeri Melaka tidak mahu adakan PRK atas sebab-sebab tertentu, maka jangan umumkan kepada Speaker DUN dan Speaker DUN tidak perlu bertindak tanpa permohonan daripada kerajaan negeri.

“Bagi saya, perlu dibiarkan status quo DUN Rembia kerana DUN Melaka akan dibubarkan dalam dua tahun lagi, jadi membazir masa dan wang jika diadakan PRK pada ketika ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis mengambil pendirian tiada keperluan untuk mengemukakan sebarang bukti kepada UMNO berhubung tindakannya menyertai Pas sejak 2023.

Yang Dipertua DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum berkata, nasib bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri itu telah diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemilih DUN, namun hanya diumumkan pada sidang akan datang.

Akhbar ini melaporkan, kerusi DUN Rembia tidak perlu diadakan sekiranya Yang Dipertua DUN Melaka memilih untuk mengumumkan kekosongan tersebut pada sidang akan datang.

Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan PRK tidak perlu diadakan jika tempoh pembubaran DUN berbaki dua tahun lagi.

Dalam pada itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata, BN tidak tergugat sekiranya PRK tidak diadakan walaupun kerusi DUN Rembia dikosongkan.

“Jadi UMNO tidak ada masalah. Bukan setakat ada dua pertiga majoriti, Pakatan Harapan (PH) juga sudah menyokong, maka tidak timbul masalah kepada BN di Melaka.

“Cuma bergantung usia DUN daripada hari pertama buat mesyuarat. Jika sudah tiga tahun, maka tidak perlu buat PRK, namun jika sebelum itu, perlu buat PRK,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×