UMNO lebih untung jika bersama PH

UMNO lebih untung jika bersama PH

UMNO dilihat lebih baik berada dalam kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum akan datang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO dijangka berdepan kesukaran untuk kekal dominan sekiranya memilih untuk bekerjasama semula dengan Perikatan Nasional (PN) berbanding terus berada dalam Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).

Pakar geostrategi, Dr. Azmi Hassan berkata, pertindihan hampir 80 peratus kerusi di Semenanjung antara UMNO, Pas dan Bersatu akan menyukarkan UMNO menguasai kawasan berkenaan walaupun parti itu diunjurkan mampu memenangi sekitar 40 kerusi.

“Sebaliknya, jika UMNO bergerak secara solo tetapi bekerjasama dengan PH, lebih daripada 40 kerusi berpotensi dimenangi kerana pertindihan kerusi dengan PH hanya sekitar 30 hingga 40 peratus.

“Dari segi keputusan strategik, lebih baik UMNO bersama PH berbanding PN,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini me­laporkan, masa depan UMNO dilihat lebih terjamin sekiranya mengambil keputusan untuk bersama Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau yakin UMNO mampu memenangi lebih 40 kerusi Parlimen berban­ding 30 kerusi yang dimiliki hari ini sekiranya mengambil tindakan berani itu.

Menurut Azmi, walaupun Pas kini memiliki jumlah kerusi Parlimen terbanyak, parti itu hanya berupaya kekal sebagai pembangkang di peringkat nasional.

Katanya, kekuatan PN belum mencukupi untuk menumbangkan kerjasama PH dan Barisan Nasional (BN) walaupun disokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti-parti dari Sabah.

“Masalah utama PN ialah terlalu bergantung kepada undi Melayu menerusi gabungan Pas, Bersatu dan UMNO.

“Dari segi survival politik, UMNO lebih baik kekal dalam kerajaan dengan bekerjasama dengan PH kerana strategi bergantung pada satu bangsa sahaja tidak mampu menjamin kemenangan untuk membentuk kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, walaupun secara realiti gabungan UMNO dengan PN berpotensi menguasai majoriti kerusi Melayu dan sekurang-kurangnya membentuk kerajaan, isu pembahagian kerusi antara UMNO, Pas dan Bersatu dijangka menjadi pertikaian utama.

Beliau berkata, wujud dilema besar sekiranya UMNO membuat keputusan meninggalkan Kerajaan Perpaduan untuk bersama PN.

“Persaingan tiga parti Melayu di kawasan majoriti Melayu boleh menimbulkan masalah kerana masing-masing mahu bertahan.

“Walaupun mungkin mampu mencapai 110 kerusi, tidak ada jaminan kestabilan kerajaan dapat diwujudkan,” katanya.

Mazlan berkata, kerjasama UMNO dengan Pas dan Bersatu sebelum ini juga berakhir dengan kejatuhan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas UMNO menarik sokongan.

“Ini menunjukkan risiko ke­tidakstabilan masih wujud jika kerjasama itu dihidupkan semula.” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×