Filem badan beruniform sempena Hari Merdeka

Filem badan beruniform sempena Hari Merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA dahulu, beberapa pengkritik filem pernah mempersoalkan adakah panggung tempatan sepi dengan genre kenegaraan juga kegusaran adakah pengkarya tanah air tidak berani keluar bereksperimen dalam naskhah berunsur patriotik.

Kini, nampaknya kebimbangan itu perlahan-lahan padam melihat bagaimana meriahnya karya yang membakar semangat anak watan mengisi jadual tayangan.

Bukan sahaja isu yang diangkat lebih dalam dan kritis, tetapi juga melihat bagaimana naskhah ini ‘hidup’ apabila menjadi bahan debat, dikongsikan dan diperkatakan lebih ramai penonton di laman sosial. 

Berikut kami senaraikan antara filem popular menceritakan latar perjuangan pasukan badan beruniform.

PASKAL

Filem arahan Adrian Teh ini diilhamkan daripada perjuangan yang dilakukan badan beruniform Pasukan Khas Laut (PASKAL) yang merupakan pasukan elit Tentera Laut Diraja Malaysia. Watak utama filem ini, Leftenan Komander Arman Anwar, perlu menyelesaikan misi terakhir iaitu merampas kembali kapal dagang MV Bunga Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden.

PASKAL berjaya mencipta fenomena ketika ditayangkan pada 2018. Pada tahun tersebut, PASKAL berjaya menjadi filem pecah panggung dengan kutipan RM27. 3 juta dalam tempoh 32 hari tayangan.

Malbatt: Misi Bakara

Sekali lagi naskhah arahan Adrian Teh mencuri tumpuan kali ini mengambil inspirasi daripada insiden sebenarnya yang terjadi di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia. Pada 1993, 19 Rejimen Askar Melayu (RAMD) daripada Malbatt 1 telah berjaya menyelamatkan 70 anggota Amerika Syarikat yang terperangkap.

Filem tersebut berjaya menunjukkan betapa hebatnya pasukan askar Malaysia ketika berjuang di wilayah bergolak walaupun berdepan tekanan hebat daripada pengganas di Somalia. Malbatt berjaya mencatat kutipan sebanyak RM32. 5 juta selepas lima minggu tayangan.

Air Force The Movie: Selagi Bernyawa

Filem aksi ketenteraan, Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, arahan Zulkarnain Azhar dan Frank See telah menemui penonton pada 2022. Filem ini mengambil inspirasi daripada anggota Pasukan Khas Udara (PASKAU) yang menyelamatkan orang awam yang terkandas. Dalam naskhah ini mereka mengambil latar fiksyen Namburi menunjukkan pesawat mereka, A400M ditembak Militan Utara Namburi.

Takluk: Lahad Datu

 Zulkarnain Azhar hadir sekali lagi dengan filem aksi perang Takluk: Lahad Datu. Filem ini menceritakan detik hitam yang berlaku ketika operasi ketenteraan pada Krisis Pencerobohan Lahad Datu yang menggemparkan negara pada 2013. Memandangkan lokasi penggambaran dilakukan di lokasi asal kejadian, ia memberikan aura lebih tragis sepanjang menonton filem ini. 

Takluk yang dibintangi Syafiq Kyle, Kamal Adli, Fikri Ibrahim, Anding Indrawani dan Eman Manan baru sahaja ditayangkan di seluruh pawagam 22 Ogos lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×