WALAUPUN berkerusi roda dan kedatangan saya ke teratak indah beliau baru-baru ini secara mengejut, agamawan Tok Guru Zainal Abidin, 88, masih menyambut saya dengan penuh ramah tamah.
Tok Guru Zainal Abidin iaitu antara ulama tertua Kedah yang masih berdakwah di sebalik keuzuran itu juga tidak ketinggalan meninggalkan pesanan untuk dijadikan azimat kepada kita semua.
Pada pertemuan yang singkat itu, Tok Guru Zainal Abidin banyak bercerita tentang peri pentingnya Rukun Islam kedua iaitu solat fardu lima waktu yang disifatkan satu-satunya peluang untuk kita berinteraksi atau berbual dengan Allah SWT.
“Kalau kita bermanja dan mengadu dengan manusia belum tentu mereka membalas apa-apa pun tetapi apabila kita bermanja dan mengadu dengan Allah SWT, pasti ada balasannya.
“Jika ada apa-apa kehendak atau masalah adukan kepada Allah SWT dalam doa-doa selepas solat, Insya-Allah. Tetapi orang sekarang pelik mereka suka adukan di tempat tidak sepatutnya,” kata beliau ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pokok Tai, Pendang Kedah baru-baru ini.
TOK GURU ZAINOL ABIDIN SUDIN
JAWATAN:
Pengasas Sekolah Menengah Maahad Tahfiz Al-Abidin, Pokok Tai Pendang Kedah
Pengasas Maahad Tahfiz Darul Quran, Sungai Rotan Alor Setar, Kedah.
PENDIDIKAN:
Sekolah Rendah Guar Sanji, Arau Perlis
Sekolah Menengah Agama Alawiyah, Arau, Perlis
Pondok Pak Man Bukit Besar
Madrasah Nahdzah, Bukit Besar Kota Sarang Semut Alor Setar, Kedah.
Ulama kelahiran Arau, Perlis ini menambah, solat lima waktu itu adalah ibadah yang diperintahkan oleh Allah SWT sebagai bukti kepatuhan umat Islam sebagai hamba-Nya.
“Wahai orang beriman… orang Islam bangunlah kamu untuk mendirikan sembahyang pada setiap waktu iaitu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak. Allah memfardukan umat Islam menunaikan solat lima waktu sehari namun memberi pahala seperti kita solat 50 waktu iaitu perintah Allah SWT kepada Rasulullah SAW untuk sebelum peristiwa Israk Mikraj.
“Solat itu tiang agama kalau meninggalkannya bererti mereka tidak ada agama (kafir). Hati-hatilah jangan tinggalkan solat kerana neraka adalah balasannya kecuali kita bertaubat nasuha dan berjanji untuk tidak mengulanginya lagi.
“Maka rugilah orang Islam yang tidak solat, jangan sampai hilang nur di dunia dan akhirat,” katanya yang pernah menjadi guru agama sehingga empat dekad sebelum membuka maahad tahfiznya sendiri pada tahun 2000 yang kemudian dinaik taraf kepada sekolah menengah agama.
Beliau menambah, pendidikan agama juga penting untuk diterapkan dalam kalangan generasi muda seawal usia yang mungkin.
“Pendidikan agama ini penting walaupun kita mahu anak-anak kita cemerlang akademik tolong pastikan agama mereka terutama fardu ain dan kifayah mereka dalami. Itu sahaja panduan untuk kita yang beragama Islam.
“Saya membuka sekolah agama dahulu atas rasa tanggungjawab inilah. Rasa amanah kepada Allah SWT untuk memastikan anak-anak semua dapat pendidikan agama di samping pencapaian akademik masing-masing,” harapnya. – UTUSAN










