Tidak ada padang, sungai jadi gelanggang

Tidak ada padang, sungai jadi gelanggang

GURU dan pelajar SMK Syed Ahmad berlumba sambil mengibar Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan peringkat sekolah itu di Sungai Tambun Tulang, Arau, Perlis, semalam. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Ahmad yang terletak di Tambun Tulang di sini mengambil inisiatif tersendiri dan pendekatan cukup kreatif mengadakan aktiviti di dalam sungai sempena sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan ke-67 dan Bulan Kebangsaan peringkat sekolah berkenaan.

Sekolah terletak di pinggir bandar yang tidak mempunyai kemudahan padang untuk mengadakan sebarang aktiviti itu menggunakan kelebihan sungai di hadapan sekolah tersebut bagi menganjurkan kayuhan merdeka dan pertandingan perahu panjang.

Malah, guru-guru dan pelajar sekolah terbabit turut terlibat dengan pertandingan perahu panjang sambil mengibar Jalur Gemilang sekali gus menarik perhatian orang ramai yang berkumpul di tepi jalan sepanjang sungai berkenaan bagi menyaksikan aktiviti itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengetua SMK Syed Ahmad, Ismail Md. Nor berkata, aktiviti sempena kemerdekaan di dalam sungai tersebut menyajikan kelainan yang julung kali diadakan oleh sekolah itu.

Katanya, program yang mendapat kerjasama Komuniti Madani Tambun Tulang, Jabatan Penerangan dan Persatuan Kanu Perlis itu berlangsung cukup meriah dengan lebih 100 peserta terlibat dalam kayuhan itu.

“Kami tidak ada padang, jadi kita mencipta kelainan dengan mengadakan aktiviti di dalam sungai sempena kemerdekaan ini. Kita memanfaatkan ruang yang ada secara kreatif bagi mengadakan sesuatu program ini.

“Pertandingan perahu panjang dan kayuhan merdeka ini bukan sahaja melibatkan pelajar sekolah ini sebaliknya pelajar-pelajar dari beberapa universiti tempatan.

“Alhamdulilah, ia berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan cukup hebat. Impian kita mengadakan aktiviti seperti dapat direalisasikan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Tambah Ismail, program seperti ini yang mempunyai faktor ‘wow’ itu turut membantu menarik kehadiran pelajar ke sekolah.

“Kita tidak ada padang dan selalunya hiburan pelajar-pelajar di sini melalui aktiviti di sungai tersebut yang telah banyak melahirkan bakat di dalam sukan kanu berkenaan.

“Dengan kerjasama kelab kayak itu dan hasil daripada sungai ini juga banyak telah mencungkil bakat-bakat baharu sukan ini. Saya juga berharap komuniti dan masyarakat terus menjaga sungai ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini