KUALA LUMPUR: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung dua kesalahan.
Dua laporan polis dibuat hari ini mendakwa Ahmad Zahid menipu Yang di-Pertuan Agong Ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung akaun bersumpah Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) selain menyalah guna kuasa berkaitan peruntukan kepada Skuad Sabil.
Pengarah Pilihanraya Pemuda Perikatan Nasional (PN), Zahin Zainal berkata, laporan itu susulan dakwaan Presiden UMNO itu bahawa terdapat SD bertindih.
Katanya, dakwaan itu jelas mengelirukan dan bercanggah dengan kenyataan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dan Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran sebelum ini yang mendakwa tindakan Ahmad Zahid ketika hendak menubuhkan Kerajaan Perpaduan tidak bersandarkan kepada ketetapan Dewan tertinggi BN.
“Apabila membuat pendedahan SD, Ahmad Zahid buat kenyataan bahawa dia mewakili setelah mendapat mandat daripada 30 ahli Parlimen BN kononnya menyokong Ahli Parlimen Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi ini bercanggah kerana menyataan dikeluarkan Setiausaha Agung MCA dan Presiden MIC mendakwa bahawa ia tidak betul kerana Dewan Tertinggi BN berpendirian berkecuali, jadi di mana yang mengatakan ada sokongan kepada Tambun.
“Kita menyuarakan fakta dianggap penderhakaan, yang ini apa? Menipu secara terang-terangan bukan penderhakaan? Menyalah guna kuasa kononnya atas nama presiden, pengerusi BN, mendahului ahli Parlimen membuat keputusan atas pihak ahli Parlimen, itu bukan kuasa yang telah diberikan.
“Ini jelas bukan saya kata, Setiausaha Agung MCA, Presiden MIC sebut, dia (BN) kekal berpendirian bahawa mereka berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak buat masa ini pada waktu itu,” katanya dalam sidang akhbar, selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Wang Wangi hari ini.
Mengulas lanjut, Zahin berkata, pihaknya menuntut polis menyiasat Ahmad Zahid di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan (Akta 574).
Selain itu, katanya, pihaknya juga meminta polis menyiasat sekiranya terdapat sebarang arahan yang telah dikeluarkan Ahmad Zahid untuk melarang, menghalang atau mendorong tindakan dari Ahli Parlimen lain untuk tidak hadir menyatakan pendirian mereka jelas dalam urusan pelantikan Perdana Menteri.
“Kita tuntut satu siasatan adil diatas semangat tatakelola yang baik,” katanya.
Berhubung salah guna kuasa berkaitan peruntukan kepada Skuad Sabil, Setiausaha Kerja Armada, Meor Naqiuddin berkata, laporan dibuat berikutan pengumuman Ahmad Zahid dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini bahawa skuad itu akan diperuntukkan menggunakan peruntukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Jadi kami mohon satu siasatan atas kesalahan yang kami anggap sebagai salah guna kuasa oleh Ahmad Zahid yang mana menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk membiayai kumpulan sukarela dari kalangan ahli parti
“Kita anggap salah guna kuasa lah. Kalau macam itu mana-mana badan beruniform bersifat sukarela, kalau Pas ada Jabatan amalnya semua patut layak dapat juga lah.
“Tapi kita melihat atas dasar kerana dia menteri yang menjaga APM, dia menggunakan kuasa tersebut untuk memberi keuntungan atau memberi kelebihan kepada skuad yang terletak di dalam parti Umno itu sendiri,” katanya. – UTUSAN










