Tiga maut, berjuta penduduk pindah akibat taufan Shanshan

Tiga maut, berjuta penduduk pindah akibat taufan Shanshan

TAUFAN Shanshan melanda barat daya Jepun, yang mengakibatkan angin kencang dan hujan lebat semalam.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Sekurang-kurangnya tiga maut akibat taufan Shanshan melanda barat daya Jepun, yang mengakibatkan angin kencang dan hujan lebat semalam.

Bencana itu menyebabkan bekalan elektrik terputus, operasi kilang-kilang utama ditutup dan berjuta penduduk diarah berpindah.

Sebelum ini, pihak berkuasa negara memberi amaran taufan Shanshan berisiko menjadi antara ribut terkuat yang melanda kawasan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengeluar automotif terbesar di dunia, Toyota menggantung operasi di semua kilang domestiknya akibat taufan itu.

Selain itu, pembuat kenderaan lain seperti Nissan dan Honda serta syarikat semikonduktor seperti Renesas, Tokyo Electron dan Rohm juga menghentikan sementara pengeluaran di beberapa kilang.

Lebih 200,000 isi rumah di tujuh wilayah terputus bekalan elektrik pada petang Khamis, menurut Kyushu Electric Power Co.

Syarikat utiliti itu memaklumkan ribut kuat tidak menjejaskan Loji Kuasa Nuklear Sendai di bandar Satsumasendai, tempat taufan Shanshan melanda pada awal pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshimasa Hayashi mengesahkan tiga maut dan seorang hilang dalam kejadian berkaitan taufan, manakala 45 yang lain cedera.

Syarikat penerbangan, termasuk ANA Holdings dan Japan Airlines, mengumumkan pembatalan hampir 800 penerbangan.

Perkhidmatan kereta api juga digantung di banyak kawasan di Kyushu, manakala operasi bas dan feri dihentikan, menurut kementerian pengangkutan.

Menurut agensi cuaca, ribut dijangka bergerak ke kawasan tengah dan timur termasuk ibu negara Tokyo sekitar hujung minggu ini, selepas melanda Kyushu selama beberapa hari.- REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini