NEW YORK: Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), mempersoalkan di manakah nilai kemanusiaan selepas pasukan bantuan antarabangsa itu sukar menjalankan operasi bantuan di Gaza ekoran serangan berterusan daripada tentera Israel.
Pemangku Pengarah OCHA, Joyce Msuya semalam berkata, keadaan yang tidak menentu di Gaza menyebabkan pasukannya gagal merancang jadual perjalanan dalam tempoh 24 jam kerana tidak pasti dengan jenis bantuan yang dimiliki, bila mereka akan memperolehinya atau di mana mereka perlu menghantarnya.
“Orang awam kelaparan, dahaga dan sakit. Mereka tiada tempat tinggal. Apa yang mereka tanggung amat menyedihkan,” katanya pada satu taklimat kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) di sini semalam.
Kenyataan Msuya itu dibuat selepas PBB terpaksa menghentikan pergerakan bantuan kakitangannya di Gaza Isnin lalu berikutan arahan pemindahan baharu Israel di kawasan Deir al-Balah, yang menjadi pusat operasi OCHA.
Tambah beliau, dengan lebih 88 peratus wilayah di Gaza kini ditawan Israel, orang awam sendiri tidak tahu mereka perlu berlindung di mana apabila tentera rejim mengeluarkan arahan perpindahan.
“Arahan perpindahan yang dikeluarkan tanpa mengira masa telah melanggar keperluan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” jelas Msuya seperti laporan Al-Arabiya.
Jelasnya, selama 11 bulan konflik, dunia juga gagal memberikan komitmen untuk menghentikan pembunuhan besar-besaran dilakukan Israel terhadap penduduk Palestin.
“Ia memaksa kita berfikir, apa yang telah terjadi kepada rasa kemanusiaan?,” katanya.
Perang dilancarkan Israel terhadap kumpulan pejuang Hamas sejak Oktober tahun lalu mengakibatkan lebih 40,000 kematian penduduk Palestin, namun sehingga kini rundingan gencatan senjata masih menemui jalan buntu. – AGENSI











