PETALING JAYA: Naib juara tahun lalu, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar mara ke suku akhir selepas menewaskan pemain Jepun, Tomo Endo dalam perlawanan pusingan kedua pada Kejohanan Skuasy Trofi Tuanku Muhriz 2024 di Kompleks Sukan Tan Seri Dato’ Hj Mohd Said, Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.
Addeen yang diletakkan sebagai pilihan ketiga itu tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan Endo 12-10, 11-8, 11-7.
Pada suku akhir, abang ipar kepada Aifa dan Aira Azman itu akan menghitung pertembungan dengan wakil Mesir, Mohamed Nasser yang diletakkan sebagai pilihan 9/16.
Mohamed mengalahkan pemain muda negara, C. Ameeshanraj 11-4, 3–11, 11-2, 11-8 dalam masa 54 minit.
Turut mengikut jejak langkah Addeen mara ke peringkat lapan terbaik ialah pilihan kelapan, Muhammad Syafiq Kamal yang beraksi sengit sebelum menumpaskan pemain Pakistan, Nasir Iqbal 11-9, 7-11, 11-6, 5-11, 11-7 dalam masa 55 minit.
Dalam suku akhir, esok, Syafiq sekali lagi berdepan pencabar yang kuat apabila pilihan kedua, V. Senthilkumar bersedia menyekat hajatnya untuk ke peringkat empat terbaik.
Pemain India itu mengetepikan wakil Malaysia, Muhammad Hafiz Zhafri Abdul Harif 11-8, 11-8, 11-4 dalam masa 33 minit dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua.
Sementara itu, seorang lagi pemain negara, Ong Sai Hung akur dengan pilihan keenam, Tang Ming Hong dari Hong Kong apabila tewas 11-5, 6-11, 9-11, 6-11 dalam masa 39 minit. – UTUSAN










