Aifa, Aira mara ke suku akhir Trofi Tuanku Muhriz

Aifa, Aira mara ke suku akhir Trofi Tuanku Muhriz

AIFA (baju hitam) membalas pukulan daripada Harleein sewaktu beraksi dalam pusingan kedua pada Kejohanan Skuasy Trofi Tuanku Muhriz di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini. - IHSAN PSNS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aifa Azman mudah menempah slot suku akhir selepas mengetepikan juara Remaja Asia Bawah 15 Tahun, Harleein Tan menerusi kemenangan straight set pada pusingan kedua Kejohanan Skuasy Trofi Tuanku Muhriz 2024 di Kompleks Sukan Tan Seri Dato’ Hj Mohd Said, Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

Pemain No. 35 dunia yang diletakkan selaku pilihan pertama itu menewaskan Harleein yang berusia 14 tahun 11-7, 11-3, 11-2 dalam masa 18 minit.
Aifa berkata, dia tidak pernah berdepan Harleein sebelum ini dan memerlukan masa untuk memahami corak permainan juniornya itu.

“Sebelum ini, saya hanya pernah dengar Harleein antara pemain remaja yang sedang meningkat naik, secara keseluruhan saya bermain baik, tetapi, saya memerlukan sedikit masa pada set pertama untuk memahami gaya permainan lawan,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan.

Mengulas mengenai pertemuan suku akhir berdepan seorang lagi wakil Malaysia, J. Yasshmita, Aifa memberitahu, tidak mudah berdepan pemain berusia 20 tahun itu dan dia menjangkakan laluan akan menjadi lebih sukar, esok.

“Selaku pilihan pertama, kalau boleh saya tidak mahu fikir sangat tentang peluang saya, lebih elok saya fokus kepada permainan sendiri dan esok, berdepan Yasshmita saya perlu atur perancangan permainan saya dengan baik,” ujarnya.

Yasshmita dipaksa bekerja keras selama 40 minit untuk mengetepikan kakak Aifa iaitu Aika dalam pertarungan yang diheret sehingga ke set penentuan 11-6, 9-11, 11-13, 11-9, 11-3.

Turut mara ke suku akhir, adik Aifa yang merupakan bekas naib juara remaja dunia, Aira yang menumpaskan rakan senegara, Goh Zhi Xuan 11-9, 11-3, 11-6 dalam masa 22 minit.

Pemenang Trofi Tuanku Muhriz 2022 itu yang juga pilihan kedua kejohanan perlu melepasi halangan wakil India, Akanksha Salunkhe jika berhajat untuk mara ke separuh akhir.

Tanpa kelibat juara bertahan yang juga bintang No. 9 dunia, S. Sivasangari, Aifa mahupun Aira berpeluang untuk merebut gelaran pada tahun ini.

Dua lagi wakil negara yang turut mengesahkan tempat ke peringkat lapan terbaik ialah K. Sehveetrra dan Noor Ainaa Amani Ampandi yang menundukkan lawan masing-masing di pusingan kedua.

Sehveetrra yang berdepan ujian getir menentang pemain Hong Kong, Chan Sin Yuk di suku akhir, menumpaskan Urwashi Joshi dari India 11-8, 2-11, 11-6, 11-7, manakala, Ainaa yang menyingkirkan wakil Jepun, Akari Midorikawa 11-6, 11-9, 8-11, 11-3, akan bertemu Hana Ismail dari Mesir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×