PETALING JAYA: Malaysia akhirnya bersetuju menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027, hari ini.
Menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS) keputusan itu dibuat oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat yang dibentangkan serta dipengerusi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengambil kira komitmen penganjuran bersama tiga negeri iaitu Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang.
“Sebelum ini, Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang menyatakan kesediaan untuk menggunakan peruntukan masing-masing menjadi penganjur bersama Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan KBS hari ini.
Sabtu lalu, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan bersetuju menjadikan Sarawak sebagai penganjur bersama temasya dwitahunan terbabit selepas mengambil kira keupuayaan negeri itu menjadikan SUKMA 2024 sebagai penganjuran terbaik temasya sukan.
Pengumuman berkenaan turut disokong oleh Majlis Sukan Negara (MSN) yang menganggap ianya sebagai positif buat industri sukan tanah air dalam usaha meningkatkan prestasi atlet dengan penganjuran temasya sukan dalam negara.
Sementara itu, KBS turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan Sarawak dan Jawatankuasa Penganjur SUKMA XXI atas kejayaan mengendalikan temasya itu, minggu lalu. – UTUSAN










