Loji Janakuasa Prai 350MW Malakoff dapat lanjutan setahun - Utusan Malaysia

Loji Janakuasa Prai 350MW Malakoff dapat lanjutan setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malakoff Corporation Berhad (Malakoff), melalui anak syarikatnya, Prai Power Sdn. Bhd. (PPSB) memperoleh lanjutan setahun perjanjian pembelian  tenaga (PPA) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi Loji Janakuasa Prai (PPP) di Pulau Pinang.

Perlanjutan itu akan bermula pada 1 September 2024 bagi memastikan bekalan tenaga stabil dan wibawa memenuhi  permintaan semasa yang semakin tinggi dan meningkatkan keselamatan tenaga dengan  tenaga simpanan yang mencukupi.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff,  Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, pelaksanaan PPA itu adalah penyelesaian paling berdaya maju dari segi ekonomi dan terpantas untuk menyokong grid nasional, di samping membolehkan PPP meneruskan operasinya dalam baki perkhidmatannya. 

“Ini mengukuhkan komitmen Malakoff menyokong negara dengan memastikan bekalan  tenaga yang selamat, berpatutan dan mampan pada setiap masa.

“Malaysia menyasarkan meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE) kepada 40 peratus  menjelang 2035 dan 70 peratus menjelang 2050 di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Jadi, adalah amat penting mengimbangi faktor keselamatan, kebolehmampuan dan kemampanan yang merupakan elemen penting trilemma tenaga.

“PPP, single-shaft loji tenaga kitaran gabungan (CCPP) yang  terbukti dan cekap, memainkan peranan penting dalam peralihan ini,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, dalam memanfaatkan  baki hayat perkhidmatannya, PPP membolehkan penggunaan bahan api yang optimum, mengurangkan jejak karbon dengan kecekapan yang lebih tinggi dan kadar haba yang lebih rendah berbanding loji janakuasa arang batu.

“Rekod prestasi operasinya yang  boleh dipercayai memastikan bekalan tenaga yang berterusan dan stabil untuk menyokong  permintaan tenaga negara yang meningkat.

“PPP komited mematuhi peraturan alam sekitar dan mengurangkan jejak karbon melalui  had pelepasan karbon yang ketat, pengurusan sisa yang berkesan, kecekapan tenaga dan  pematuhan kepada pensijilan dan piawaian industri.

“Selain itu, ia sentiasa terlibat secara aktif dalam  inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), termasuk pembangunan komuniti, program  pendidikan dan pemuliharaan alam sekitar.

“Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada  masyarakat setempat tetapi juga mengukuhkan hubungan dengan pihak berkepentingan,” katanya.

Tambah Anwar Syahrin, PPP  juga telah mendapat pengiktirafan di atas komitmennya terhadap keselamatan loji janakuasa.

“PPP memenangi Anugerah Keselamatan Majlis Kebangsaan bagi Keselamatan dan  Kesihatan Pekerjaan (NCOSH) pada 2004 dan 2017, serta ‘Gold Merit’ daripada  Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) di antara 2018  dan 2022,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×