KUALA LUMPUR: Loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam adalah lokasi terakhir akan mengumpulkan sisa kumbahan dari Masjid India sekali gus ada kemungkinan mangsa tanah jerlus boleh ditemui di situ.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, beliau menerima taklimat daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta IWK.
Menurut beliau, taklimat juga disampaikan mengenai fungsi loji Pantai 1 dan Pantai 2 yang kedua-duanya menguruskan sisa kumbahan bagi 1.8 juta warga Kuala Lumpur.
“Saya difahamkan semua sisa kumbahan akan berakhir di sini dan tidak akan melepasi lokasi ini.
“Sebanyak 0.4 juta sisa kumbahan warga Kuala Lumpur diuruskan fasaliti ini (Pantai 1), manakala 1.4 juta lagi di fasaliti Pantai 2. Jadi memang akan berhenti di sini,” katanya ketika ditemui selepas hadir meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sini hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, pihaknya dimaklumkan jarak lurang kumbahan di Jalan Masjid India hingga ke loji IWK Pantai Dalam sejauh kira-kira tujuh kilometer.
Kata Fahmi, beliau melihat dedikasi dari segi teknikal adalah lengkap.
“Sebagai ahli parlimen di sini, saya juga ambil maklum dan teliti mengenai kebajikan pasukan penyelamat,” ujarnya.
Terdahulu, mangsa seorang wanita warga India dikenali Vijayaletchumy, 48, dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India pada Jumaat lalu..
Berikutan itu, pasukan penyelamat telah memperluas operasi pencarian membabitkan enam lurang kumbahan di sekitar ibu negara iaitu di hadapan Wisma Yakin, Jalan Melayu, persimpangan Jalan Melayu, Dataran Merdeka, Lebuh Pasar, dan Bulatan Kinabalu.- UTUSAN










