Ijazah jururawat tidak laku

Ijazah jururawat tidak laku

KERAJAAN perlu mempertimbangkan secara serius cadangan untuk membawa masuk jururawat asing ke Malaysia kerana ia memberi kesan yang besar terhadap ekonomi, rakyat serta negara ini.-UTUSAN/GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemegang ija­zah kejururawatan tidak diterima hos­­pital kerajaan dan swasta di negara ini yang lebih cenderung memilih lulusan diploma kerana gaji lebih murah.

Situasi itu mendorong ramai jururawat tempatan berkelulusan ijazah berhijrah ke luar negara seperti Arab Saudi, Si­ngapura, Brunei serta United Kingdom (UK) yang sedia me­nerima kemahiran mereka.

Keadaan itu juga menimbulkan persoalan berhubung ke­perluan institusi pendidikan tempatan (IPT) menawarkan kursus ijazah kejururawatan sedangkan lepasan tahap itu kurang mendapat tempat di negara ini.

Seorang jururawat di bahagian kanser kanak-kanak di King Fahad Medical City, Riyadh, Arab Saudi, Frezaillah Razali, 31, berkata, dia berhijrah ke luar negara kerana peluang bekerja di dalam negara sebagai lulusan ijazah bidang itu sangat sedikit.

Katanya, situasi tersebut menyedihkannya memandangkan hospital dan klinik di negara ini lebih cenderung memilih jururawat lepasan diploma kerana bayaran gaji lebih murah berbanding lulusan ijazah.

“Ketika dunia dilanda wabak Covid-19 pada 2020, Malaysia mengalami kekurangan jururawat. Disebabkan ada keinginan tinggi untuk kembali berkhidmat di tanah air, saya memohon peluang bekerja sebagai jururawat kontrak.

“Bagaimanapun, permohonan saya tidak diterima disebabkan tiada diploma kerana saya adalah lepasan asasi atau matrikulasi yang kemudian mengambil ijazah kejururawatan.

“Saya terkilan Malaysia menyediakan program asasi atau matrikulasi di IPTA (institusi pengajian tinggi awam) tetapi apabila tiba untuk mengambil pekerja, mereka lebih memilih lepasan diploma,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu berkata, dia sentiasa menanam hasrat untuk kembali berkhidmat di negara sendiri, namun sehingga kini belum mendapat peluang berkenaan.

Pada masa sama, dia berharap gaji dalam bidang kejururawatan dapat diperbaiki sama ada di KKM mahupun swasta supaya setimpal de­ngan tugas digalas golongan sepertinya.

“Saya sangat ingin kembali berkhidmat ke Malaysia sekiranya perubahan dilakukan, malah sehingga hari ini, saya masih mengemas kini resume di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) setiap tahun dan menunggu panggilan temuduga untuk berkhidmat bersama KKM,” katanya.

Menurut laporan sebelum ini, terdapat 6,787 kekosongan jawatan jururawat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga 31 Mac lalu, membabitkan jawatan sedia ada dan pewujudan jawatan baharu berikutan naik taraf serta pembinaan fasiliti baharu.

Pada masa sama, sebanyak 220 hospital swasta di seluruh negara terus berdepan masalah kekurangan jururawat yang boleh menjejaskan operasi mereka dan industri pelancongan kesihatan di negara ini kerana Kementerian Sumber Manusia (KSM) belum meluluskan kemasukan 9,200 jururawat dari Filipina dan India.

Perkara itu diburukkan lagi apabila berdasarkan statistik KKM, seramai 4,275 jururawat di sektor awam dan swasta meletak jawatan dan berhijrah ke luar negara sejak 2013 sehingga April tahun ini.

Sementara itu, bekas pensyarah kejururawatan di IPTA tempatan, Nour Dhiaeyah S. Zaki, 45, mendedahkan perkara sama apabila memaklumkan ramai bekas pelajarnya mengeluh ‘terlebih layak’ dan tidak diterima bekerja di sektor kesihatan dalam negara kerana mereka adalah lepasan ijazah.

Katanya, kebanyakan hospital di negara ini hanya menerima lepasan diploma kejururawatan kerana gaji yang dibayar lebih murah.

“Ramai lulusan ijazah terpaksa merantau ke luar negara untuk memberikan perkhid­matan mereka. Pada masa sama, saya akui kerajaan mempunyai limitasi untuk jururawat U41 kerana berdasarkan pengalaman, jumlahnya amat sedikit jika dibandingkan de­ngan keperluan sebenar industri,” katanya.

Oleh demikian, Nour Dhiaeyah yang juga Ketua Jururawat di King Fahad Medical City, Riyadh, Arab Saudi, mempersoalkan apakah keperluan universiti tempatan menawarkan kursus ijazah kejururawatan sedangkan lepasan tahap itu kurang mendapat tempat di sektor kesihatan sama ada awam mahupun swasta.

“Kita melahirkan ramai generasi jururawat berpotensi besar, sebagai contoh, ramai bekas pelajar saya kini menjadi rakan setugas di hospital sama tempat saya bekerja sekarang,” katanya.

Jumlah keseluruhan jururawat di Malaysia adalah seramai 160,000 orang dengan 70,000 orang daripadanya berkhidmat di bawah KKM manakala selebihnya di sektor swasta.

Bagaimanapun, diangga­rkan sekitar 10,000 hingga 15,000 jururawat yang merupakan lulusan ijazah manakala selebihnya adalah pemegang diploma dan sijil kejururawatan.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Jururawat Malaya, Saaidah Athman turut mengakui kewujudan isu tersebut dan pihaknya hampir setiap tahun memperjuang untuk mening­katkan kelayakan jururawat daripada lulusan diploma kepada ijazah.

Katanya, bidang kejururawatan di negara ini agak terkebelakang berbanding bukan sahaja Singapura bahkan Thailand yang kini mengambil jururawat lulusan ijazah bagi berkhidmat di sektor kesihatan masing-masing.

“Perkara ini sudah pun dibawakan kepada kerajaan kerana kita mahu kelayakan menjadi jururawat dipertingkat supaya kerjaya ini menjadi bidang profesional dengan jururawat diambil adalah golongan terlatih.

“Biasanya mereka yang mengambil ijazah ini adalah disebabkan kehendak sendiri bukannya tajaan tetapi di dalam industri mereka yang berkelulusan diploma masih menjadi keutamaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×