JOHOR BAHRU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan wujud perebutan calon yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, 28 September ini.
Sebaliknya, beliau yang juga Pengerusi BN menegaskan, keputusan akhir akan dibuatnya selaku kepimpinan tertinggi parti dan gabungan tersebut.
“Tiada perebutan calon (antara Pemuda dan Wanita UMNO), (sebaliknya) yang menentukan adalah pengerusi BN,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor di kediaman rasmi Menteri Besar Johor, di Saujana, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Ahmad Zahid berkata, BN menyasarkan untuk memenangi PRK DUN Mahkota dengan mempertahankan majoriti diperoleh penyandangnya sebelum ini, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.
“Jumlah pengundi di DUN Mahkota adalah tiga kali ganda berbanding di DUN Nenggiri, lain padang lain belalang, maka pendekatan juga harus berbeza.
“Di Nenggiri hanya ada seramai 19 peratus pengundi Cina, manakala 34 peratus pengundi DUN Mahkota adalah masyarakat Cina. Jadi, DAP ada peranan, begitu juga MCA. Selain itu, sebanyak lapan peratus pula adalah pengundi India. Jadi, kita juga perlukan kerjasama MIC dan parti-parti Friends of BN,” katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memaklumkan nama calon bagi pilihan raya itu masih belum dimuktamadkan setakat ini.
“Kita dah adakan perbincangan tetapi masih belum muktamad, yang pasti ia sebelum 14 September. Kita akan tentukan calon (sama ada daripada Pemuda atau Wanita), kita ada strategi kita,” jelasnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 September ini sebagai hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota, manakala hari penamaan calon dan pengundian awal, masing-masing pada 14 dan 24 September.
Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah pada 2 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang. – UTUSAN










