KUALA LUMPUR: “Dari sejak saya lahir hingga ke universiti dan sehingga saya menjadi doktor, tiada siapa yang menyebut nama saya sebagai Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty. Saya adalah seorang Melayu dan Islam sejak lahir”
Bekas Presiden UMNO itu juga menyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berbohong apabila menyatakan beliau ada kad pengenalan biru yang menunjukkan nama Mahathir A/L (anak lelaki) Iskandar Kutty.
“Saya sedar (kenyataan Ahmad Zahid) itu berbohong. Tiada tulis di mana-mana sehinggalah Ahmad Zahid buat kenyataan dia ada ic (kad pengenalan) biru dengan nama Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty. Inilah pembohongan yang dibuat oleh Zahid Hamidi. Zahid juga tidak pernah menafikan dia pernah cakap begitu,” katanya.
Itu keterangan yang dibuat Dr. Mahathir Mohamad ketika memberi keterangan sebagai plaintif dalam kes saman fitnahnya terhadap Ahmad Zahid di Mahkamah Tinggi di sini.
Tambahnya, walaupun rakaman video yang menunjukkan Ahmad Zahid sedang memberi ucapan pada Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 tidak menyebut namanya secara spesifik, Dr. Mahathir menyatakan perkataan-perkataan yang dinyatakan Ahli Parlimen Bagan Datuk yang jelas merujuk kepada dirinya.
Walaupun (Ahmad Zahid) tak beri (sebut) nama saya tetapi dia tuju kepada saya, `orang itu’. Macam-macam lagi yang dia sebut pasal saya, (antaranya sebut) 22 tahun. Semua orang tahu saya 22 tahun jadi Perdana Menteri. Jadi orang yang ditujukan itu ialah saya, Mahathir bin Mohamad,” katanya sewaktu pemeriksaan utama oleh peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali.
Sewaktu disoal balas oleh peguam, Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid, Dr. Mahathir menyatakan Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah itu bertujuan memburukkan namanya agar tidak diterima oleh orang awam dan UMNO.
Tambahnya, beliau mengetahui mengenai ucapan Ahmad Zahid itu apabila dimaklumkan oleh `seseorang’ namun tidak menyatakan secara spesifik individu berkenaan.
“Saya tidak hadir dalam mesyuarat berkenaan, saya bukan ahli (UMNO). Saya dapat tahu selepas itu. Laporan (ucapan) itu diketahui seluruh dunia dan Ahmad Zahid sendiri tidak pernah nafikan (buat ucapan berkenaan).
“Saya tidak persoalkan perkara lain dia sebut dalam ucapan itu. Perkara lain tidak disaman oleh saya. Yang saya saman ialah nama saya, perkara lain saya tak pertikai,”kata Dr. Mahathir.
Dalam prosiding sama, Mohamed Shahrul memberitahu, Ahmad Zahid mendapat fakta beserta gambar kad pengenalan menunjukkan nama ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ mengenai nama ‘Kutty’ itu daripada ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).







