PETALING JAYA: Identiti lima mangsa yang terlibat dalam kejadian sebuah helikopter jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF terhempas berhampiran STOLport Long Lellang, Sarawak, hari ini belum dikenal pasti.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, siasatan masih berjalan ketika ini.
“Ya, saya sahkan. Kejadian melibatkan perkhidmatan doktor udara.
“Kita juga akan menggunakan perkhidmatan udara ke lokasi sekiranya dibenarkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dari pangkalan udara Kuching memandangkan cuaca berjerebu ketika ini.
“Lokasi kejadian mengambil masa kira-kira 10 jam dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi,” katanya di sini.
Terdahulu, CAAM mengesahkan sebuah helikopter jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF terhempas berhampiran STOLport Long Lellang, Sarawak.
CAAM dalam kenyataan ringkas memaklumkan, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu sekitar pukul 3.58 petang tadi.
Helikopter berkenaan sedang menjalankan penerbangan perkhidmatan doktor udara (Flying Doctor Service) dengan membawa lima individu termasuk juruterbang.
Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.-UTUSAN








