PORT DICKSON: Penduduk di Taman Sri Pinang, Bagan Pinang di sini bimbang kejadian tanah runtuh di taman perumahan itu akan semakin serius sekiranya tiada tindakan segera diambil pihak berwajib bagi menyelesaikannya.
Salah seorang daripada mereka, E. Paul Subramaniam, 62, berkata, kejadian tanah runtuh dan tanah mendap yang berlaku pada pagi Jumaat lalu susulan hujan lebat yang berterusan turut menyebabkan sebuah rumah yang tidak berpenghuni rosak malah sebahagian struktur rumah itu juga turut runtuh.
Ekoran itu, dia yang tinggal menyewa bersebelahan dengan rumah itu bersama isteri dan tiga anak memberitahu telah ditempatkan sementara di Dewan Bagan Pinang demi keselamatan dia sekeluarga.
“Saya mula lihat tanah di sini makin mendap sejak 21 Ogos lalu, keesokkannya mula runtuh sedikit demi sedikit, kemudiannya hujan mula turun lebat dan pada awal pagi 23 Ogos lalu, Kawasan di sini terus runtuh.
“Kita boleh lihat sendiri, ada bahagian rumah di tepi ini yang sudah runtuh, keadaan memang tidak selamat buat penduduk di sini sekiranya ia terus dibiarkan, saya harap supaya tindakan segera dapat diambil kerana bimbang lebih banyak rumah lain juga akan turut terlibat.
“Melihat kepada keadaan ini, saya pastinya akan berfikir semula untuk membeli rumah yang sedang disewa sekarang,”katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Semalam media melaporkan, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Dewan Orang Ramai Bagan Pinang di sini yang menempatkan sebuah keluarga susulan kejadian tanah runtuh.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Suzana Sukiman, 52, berkata, penduduk di taman perumahan tersebut sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berwajib sebelum ini berhubung terdapatnya kesan retakan jalan di kawasan berkenaan.
“Namun tiada sebarang tindakan diambil, kami khuatir keadaan makin buruk. Oleh itu saya harap pihak yang bertanggungjawab dapat tindakan yang perlu apatah lagi ketika cuaca ketika ini yang kerap hujan,” katanya lagi.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Hasnor Abd. Hamid ketika dihubungi berkata, pihaknya bersama, Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson serta Jabatan Kerja Raya Port Dickson telah melawat tempat kejadian dan membuat anggaran kos pembaikan.
“Sebagai langkah sementara, MPPD telah menutup kawasan yang runtuh dan seterusnya akan mengemukakan permohonan peruntukan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi kerja pembaikan,” katanya lagi.-UTUSAN.










