Dipenjara sehari, denda RM2,000 buat laporan palsu jumpa bayi - Utusan Malaysia

Dipenjara sehari, denda RM2,000 buat laporan palsu jumpa bayi

MUHAMMAD Shahril Muhamad Radzuan (tengah) dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Parit Buntar atas pertuduhan membuat laporan palsu berkaitan penemuan bayi perempuan, dua minggu lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Padah membuat laporan palsu kononnya menjumpai bayi perempuan, seorang jurujual menerima hukuman setimpal apabila dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Muhammad Shahril Muhamad Radzuan, 24, dijatuhi hukuman tersebut selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi.

Hukuman penjara terhadap Muhammad Shahril juga boleh ditambah 14 hari lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Shahril didakwa memberi keterangan palsu kepada pihak polis berkenaan bayi yang dijumpainya di Kaunter Aduan Balai Polis Bagan Serai dalam daerah Kerian pada pukul 5.48 petang, 14 Ogos 2024.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal atas perbuatannya namun Muhammad Faizol Hashim yang mewakili lelaki itu memohon agar anak guamnya dikenakan hukuman denda minimum.

Menurut peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) itu, Muhammad Shahril yang masih bujang kini bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di Parit Buntar dengan pendapatan bulanan RM1,500.

Media pada 15 April lalu melaporkan, seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat dipercayai baru dilahirkan ditemukan dalam besen yang diletakkan berhampiran tong sampah di Pekan Titi Serong, Parit Buntar.

Penemuan bayi malang itu dilaporkan oleh seorang lelaki selepas mendakwa mendengar tangisan ketika melalui jalan berkenaan bersama rakannya kira-kira pukul 4.50 petang.

Helah lelaki itu bagaimanapun terbongkar selepas terdapat keraguan dan percanggahan fakta dalam keterangan yang diberikan mereka ketika siasatan dijalankan.

Berdasarkan siasatan, laporan yang dibuat tertuduh palsu kerana bayi tersebut merupakan anaknya hasil hubungan sulit dengan seorang wanita berusia 20 tahun yang tinggal di Tanjung Piandang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×