KUALA LUMPUR: Pelakon, Nadia Aqilah, 39, menggesa pelakon wanita di negara ini tidak mendiamkan diri, sebaliknya bersuara sekiranya mereka berdepan apa juga bentuk gangguan seksual di tempat kerja.
Kata Nadia atau nama sebenarnya, Nadia Aqilah Bajuri, gangguan itu tidak sewajarnya dibiarkan malah perlu dihentikan daripada terus berleluasa.
“Ketika awal berlakon drama dahulu, saya pernah beberapa kali menjadi mangsa ‘lawak kotor’ beberapa orang kru penggambaran yang bersikap ‘hidung belang’.
“Saya tidak biarkan, malah memberanikan diri menegur perbuatan itu yang agak keterlaluan meskipun sekadar berjenaka.
“Gangguan seperti inilah yang sering dihadapi pelakon wanita. Selalunya mangsa diamkan sahaja. Tetapi tindakan itu hanya membuatkan pelaku-pelaku semakin berani melakukan gangguan seksual menerusi lawak jenaka yang mereka cipta. Jadi, bersuaralah dan tegur jika situasi begini berlaku kepada anda,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Nadia menasihatkan kepada mana-mana pelakon baharu agar melantik pengurus dalam kalangan keluarga untuk melindungi mereka daripada dimanipulasi atau menjadi mangsa gangguan seksual.
“Kita kena dapatkan sokongan keluarga kalau mahu masuk dalam dunia hiburan. Lantiklah sesiapa dalam kalangan ahli keluarga, ibu atau adik beradik untuk uruskan kerjaya kita.
“Saya berani kata dunia hiburan tidak seratus peratus selamat. Pelakon, lebih-lebih lagi wanita pasti berhadapan dengan situasi di mana mereka sering dipandang sebagai objek seksual. Saya beruntung kerana ada suami yang melindungi.
“Jadi pilih keluarga untuk bersama anda dan jadilah pelakon yang berani, kuat mental. Kalau tidak, memang sukar,” katanya. – UTUSAN










