KUCHING: Perak menamatkan penantian 10 tahun untuk memastikan pingat emas acara hoki lelaki Sukan Malaysia (Sukma) 2024 menjadi milik mereka selepas mengejutkan juara bertahan, Pahang 3-2 menerusi penentuan shoot out di Stadium Hoki Sarawak, semalam.
Semangat melawan menjadi faktor utama kepada kejayaan Perak selepas mereka bangkit menjaringkan gol ketiga di hujung permainan untuk mengikat kedudukan 3-3 bagi memaksa pemenang ditentukan pada penentuan shoot out.
“Daripada mula kejohanan saya tekankan kepada pemain yang mereka boleh dan kena percayakan diri sendiri. Pemain kekal berdisiplin hingga memperoleh gol penyamaan dan kemenangan ini cukup penting untuk pembangunan hoki di Perak.
“Saya buat perubahan dengan keluarkan penjaga gol kerana kami tidak akan rugi apa-apa tetapi akhirnya pemain berjuang demi jiwa serta negeri.
“Penjaga gol kami sudah ada pengalaman (shoot out) di separuh akhir. Dia pun pemain remaja kebangsaan, jadi pengalamannya bantu dia tenang untuk pastikan kemenangan,” kata pengendali Perak, Mohd. Nizam Mohd. Hashim
Pada perlawanan semalam, Pahang memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila memperoleh gol awal menerusi Muhammad Handzalah Abdul Hadi seawal minit kedua namun 13 minit kemudian kedudukan kembali seimbang apabila Muhammad Nur Iszlanshah Mohd Isa meledak gol penyamaan.
Selang empat minit selepas itu, giliran Perak berada di depan menerusi Mohamad Zulhanif Sahran tetapi minit ke-28 Mohd Harris Iskandar Osman kembali mengikat kedudukan.
Jaringan Muhammad Arif Haikal Mohd Ross Iskandar hampir memastikan emas buat Pahang namun Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar menangguhkan hasrat lawan apabila mencetak gol ketiga buat Perak.
Pada penentuan shoot out, Mohd Harris, Danish Haikal Muhammad Saufi dan Muhammad Handzalah gagal menyempurnakan tanggungjawab sekaligus mengesahkan kejuaraan buat Perak.
Bagaimanapun kekecewan Pahang diubati oleh skuad wanita yang mempertahankan emas selepas menewaskan Wilayah Persekutuan 5-3, juga menerusi penentuan shoot out selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3.-UTUSAN










