TREND dekorasi menggunakan tanaman hiasan dalaman semakin menjadi kegemaran pemilik kediaman masa kini.
Salah satunya, snake plant. Selain cantik dan unik dengan bentuk daun hijau tegak memanjang, tanaman ini juga diketahui mempunyai fungsi membersihkan udara secara semula jadi. Tapi bagaimana?
Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Putrajaya, Juliana Megat Ab. Kadeer berkata, snake plant menghasilkan menghasilkan oksigen dan mampu membersihkan udara dengan menyerap pencemaran seperti formaldehid, xylene dan toluene.
Tanaman ini berkesan membuang toksin berbahaya dari udara melalui proses yang dipanggil fitoremediasi.
“Proses ini melibatkan sel-sel khusus dalam daun yang menyerap dan memecahkan toksin, mengangkutnya ke akar di mana ia terus dineutralkan.
“Toksin berbahaya seperti formaldehid dan benzena yang biasanya terdapat dalam produk isi rumah, cat, perabot dan bahan lain boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan jangka panjang.
“Dengan menyerap toksin ini, tanaman ini membantu mewujudkan persekitaran dalaman lebih sihat,” katanya kepada Seri.
Kajian Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) pada 1989 bertajuk Tumbuhan Landskap Dalaman untuk Pengurangan Pencemaran Udara Dalaman, turut memperakui tanaman itu membantu meningkatkan kualiti udara.

ASPEK KESIHATAN
Snake plant atau nama saintifiknya Sansevieria trifasciata menyumbang kepada pembersihan udara dengan membebaskan oksigen pada siang hari, sama seperti tumbuhan lain.
Bagaimanapun, ia mempunyai keupayaan unik untuk berfotosintesis pada waktu malam dan membebaskan oksigen manakala kebanyakan tanaman lain melakukannya pada siang hari.
“Ini menjadikannya pilihan ideal untuk meningkatkan kualiti udara di dalam bilik tidur dan ruang tertutup di mana kita menghabiskan banyak masa di dalam rumah.
“Ia juga menghilangkan karbon monoksida dan mengurangi pencemaran udara, menjadikannyapilihan ideal bagi pencinta tanaman hiasan dan mereka yang mengambil berat tentang kesihatan.
“Keupayaan pembersihan tanaman lidah mertua ini, terbukti secara saintifik, dengan kajian menunjukkan bahawa ia boleh membuang sehingga 87 peratus bahan pencemar udara dalaman dalam masa 24 jam,” jelasnya.

Disebalik fungsinya yang menarik itu, tanaman ini merupakan salah satu tanaman yang mudah dirawat kerana tidak memerlukan banyak air.
Siraman pula hanya sekali seminggu sahaja.
“Sebagai bahan baja, boleh guna rendaman air kulit pisang mengandungi kalium, fosforus dan kalsium sebagai baja organik.
“Manakala penggunaaan baja lepas perlahan setiap lapan bulan sekali,” katanya.











