CALFORNIA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Starbucks yang baharu, Brian Niccol, berdepan kritikan apabila dilapor akan berulang-alik hampir 1,600 kilometer dari rumahnya di Newport Beach, California ke ibu pejabat syarikat di Seattle dengan jet korporat.
Langkah itu dilihat pengkritik bercanggah dengan gaya hidup hijau dipromosikan syarikat tersebut serta menimbulkan persoalan tentang gaya hidup eksekutifnya.
Niccol dijadualkan mengambil alih jawatan berkenaan menggantikan Laxman Narasimhan pada 9 September ini.
Jurucakap Starbucks memberitahu BBC, menurut surat tawaran, CEO baharu itu tidak diwajibkan berpindah ke Seattle, cukup sekadar mampu berulang-alik dari kediaman ke pejabat untuk melaksanakan tugas.
Dokumen tersebut menyatakan, Niccol juga layak menggunakan pesawat korporat untuk perjalanan berkaitan perniagaan dan perjalanan antara kediaman serta ibu pejabat syarikat.
Menurut jucakap itu, Starbucks juga akan menubuhkan pejabat kecil di Newport Beach untuk digunakan oleh Niccol apabila bekerja dari California.
Starbucks hanya mewajibkan kakitangannya masuk ke pejabat sekurang-kurangnya tiga hari seminggu.
Perjalanan darat dari Newport Beach, California ke Seattle mengambil masa selama 18 jam, manakala hanya tiga jam jika menaiki pesawat.
Penganalisis pelaburan di AJ Bell, Dan Coatsworth menyifatkan, syarat bekerja diberikan Starbucks kepada Niccol sama sahaja seperti pekerja lain, namun membenarkan beliau berulang-alik ke tempat kerja menggunakan jet syarikat agak mengecewakan.
“Itu bukan cara yang praktikal untuk mengendalikan perniagaan bernilai AS$105 bilion (RM459 bilion) dengan anggaran 400,000 pekerja.
“Seorang eksekutif perlu menjalankan perniagaan, bukannya tinggal di kediaman mewah di tepi pantai dan menikmati faedah pekerjaan,” katanya.










