KUALA LUMPUR: Kertas siasatan membabitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung ucapan yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dihantar kepada Peguam Negara (AGC), semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini, seramai 66 saksi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes melibatkan Pengerusi Perikatan Nasional itu.
“Hari ini, pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman telah selesai mengambil keterangannya dan beliau telah menjawab semua soalan diberikan.
“Susulan itu, kertas siasatan kes tersebut akan diserah kepada AGC untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri itu menyerahkan beberapa dokumen kepada polis bagi membantu siasatan berhubung ucapan beliau itu.
Beliau juga menyerahkan 115 Akuan Berkanun Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Muhyiddin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri dan diserahkan kepada Istana Negara pada 21 November 2022.
Proses rakam keterangan berlangsung selama satu jam di pejabatnya di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), di sini.
Kelmarin, media melaporkan polis menerima 30 laporan polis berhubung ucapan Muhyiddin yang didakwa menyentuh isu 3R ketika berkempen bagi PRK Nenggiri baru-baru ini.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










