KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi meletakkan fokus kepada kelapa sawit bagi mengelakkan ia menjadi seperti getah dan koko.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia merupakan pengeksport kelapa sawit kedua terbesar di dunia mencecah RM100 bilion daripada keseluruhan RM160 bilion hasil yang dikeluarkannya.
Kata beliau, pihaknya kini sedang menuju ke arah mengeluarkan kelapa sawit yang berbeza dengan mana-manna pengeluar lain dengan menekankan soal kelestarian.
“Ini supaya mana-mana negara dalam dunia tidak boleh menyekat hasil kelapa sawit kerana kita mematuhi aspek alam sekitar dan standard antarabangsa yang ditetapkan bagi mengeluarkan produk.
“Jadi, saya tumpukan perhatian untuk meningkatkan penghasilan di setiap ladang dengan menggunakan benih yang bermutu tinggi serta melaksanakan konsep pengurusan yang bagus.
“Saya terpaksa jaga kelapa sawit ini sebab saya tak nak dia jadi macam getah,” katanya ketika berucap pada PENTalk sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Johari yang juga Naib Presiden UMNO turut mengulas keadaan sebelum ini yang mana Malaysia merupakan pengeluar utama getah dunia, namun hari ini kerajaan terpaksa mengimport kira-kira RM6 bilion getah asli untuk industri mengeluarkan prooduk berasaskan getah.
“Jadi, apa yang berlaku sebenarnya ladang getah kita ini tiada orang tengok. Maka, akhirnya daripada 1.1 juta metrik tan hanya tinggal 380 metrik tan.
“Dalam masa yang begitu panjang, tidak ada orang tengok dari segi pekerja, soal menguruskan ladang dalam skala besar dan akhirnya kita menjadi pengimport,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengeluaran koko juga jatuh daripada 300,000 metrik tan kepada 500 metrik tan.
“Sekarang kerajaan terpaksa import koko sebanyak 500,000 metrik tan yang berjumlah RM7.8 bilion, namun nilai pasaran sebenarnya sudah mencecah RM12 bilion.
“Tetapi (koko) ini tidak dibuat oleh kita dan bila ada isu kita ‘convert’ (ubah) kepada kelapa sawit. Akhirnya kita tertinggal ke belakang,” jelasnya.
Menurut beliau usaha menurunkan import getah dan koko selain menggunakan komoditi dengan lebih efisien memberi kesan kepada ekonomi termasuk mengekalkan peluang pekerjaan dan meningkatkan hasil kepada kerajaan.-UTUSAN










