WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan ke atas bekas Presiden Haiti, Michel Joseph Martelly di atas tuduhan terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dengan mendakwa beliau memainkan peranan besar dalam meneruskan krisis berpanjangan di negara tersebut.
“Martelly menyalahgunakan pengaruhnya untuk memudahkan pengedaran dadah dan telah menaja beberapa kumpulan samseng yang berpangkalan di Haiti,” kata Timbalan Jurucakap Jabatan Negara, Vedant Patel dalam satu kenyataan akhbar.
Dalam satu kenyataan, Jabatan Perbendaharaan AS menyatakan bahawa Martelly menyalahgunakan pengaruhnya untuk memudahkan pengedaran dadah berbahaya, termasuk kokain.
Jabatan itu juga menyebut beliau bekerjasama dengan pengedar dadah Haiti dengan menaja beberapa kumpulan samseng dan terlibat dalam pengubahan wang haram hasil daripada kegiatan dadah.
“Tindakan terhadap Martelly menekankan peranan besar dan merosakkan yang dimainkan oleh beliau dan golongan elit politik korup lain dalam meneruskan krisis yang berpanjangan di Haiti,” kata Pemangku Setiausaha Perbendaharaan untuk Kewangan Pengganas dan Perisikan Kewangan, Bradley Smith, dalam kenyataan tersebut.
Selepas sekatan tersebut dikuatkuasakan, institusi kewangan AS dilarang memberikan pinjaman atau kredit kepada Martelly di samping sekatan lain.
Martelly, 63, menjadi Presiden Haiti dari tahun 2011 hingga 2016, mengambil alih jawatan selepas gempa bumi dahsyat yang melanda negara Carribean tersebut pada 2010.
Semasa tempoh pemerintahannya, kerajaan beliau berdepan tuduhan rasuah yang berkaitan dengan bantuan bencana dan penggunaan dana dalam program pinjaman minyak dari Venezuela di mana pada tahun 2022, Kanada telah mengenakan sekatan ke atas Martelly dan dua bekas perdana menteri atas tuduhan membiayai kumpulan samseng.
Pertempuran antara kumpulan samseng telah menyebabkan lebih daripada 578,000 penduduk Haiti kehilangan tempat tinggal, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan hampir lima juta penduduk menghadapi kebuluran dan hampir separuh daripada jumlah penduduk Haiti berisiko menghadapi krisis kebuluran.
Kumpulan samseng bersenjata telah membentuk pakatan luas sambil melakukan pembunuhan secara meluas, penculikan untuk tebusan dan keganasan seksual.-AGENSI










