WASHINGTON: Agensi keselamatan Amerika Syarikat (AS) menuduh Iran melancarkan serangan siber terhadap kempen bekas Presiden, Donald Trump dan Naib Presiden, Kamala Harris menjelang pilihan raya pada November ini.
Pejabat Pengarah Perisikan Kebangsaan (ODNI), Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Agensi Keselamatan Siber dan Infrastruktur (CISA) mengesahkan dakwaan berkenaan dalam satu kenyataan semalam.
Jelas agensi-agensi berkenaan, aktiviti Iran dilaporkan semakin agresif ketika pilihan raya khususnya membabitkan serangan siber yang menyasarkan kempen presiden.
Ketiga-tiga agensi itu juga yakin bahawa Iran melalui kejuruteraan sosial dan usaha lain cuba mendapatkan akses kepada individu yang mempunyai kaitan langsung kepada kempen presiden kedua-dua parti politik.
Namun, agensi penyiasat terlibat tidak memberikan butiran tentang bagaimana mereka mengesahkan peranan Iran dalam serangan penggodaman tersebut dan tidak mendedahkan jenis maklumat yang mungkin telah dicuri dari kempen Trump serta Harris.
Awal bulan ini, pasukan kempen Trump mendakwa pihaknya menjadi sasaran penggodaman dan menyalahkan sumber asing atas penyebaran maklumat dalaman dan dokumen mengenai calon Naib Presiden, JD Vance.
“Dokumen-dokumen ini diperoleh secara haram dari sumber asing yang memusuhi Amerika, bertujuan untuk campur tangan dalam Pilihan Raya 2024 dan menimbulkan kekacauan dalam proses demokratik kami,” kata jurucakap kempen Trump, Steven Cheung dalam satu kenyataan.
Pasukan kempen Harris pula mengadu, mereka juga telah diserang oleh entiti asing tetapi tidak menyebut nama negara tertentu. – AGENSI










