Pedal minyak tersangkut didakwa punca treler rempuh rumah - Utusan Malaysia

Pedal minyak tersangkut didakwa punca treler rempuh rumah

KEADAAN halaman rumah yang roboh setelah dirempuh sebuah treler di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Kejadian sebuah treler merempuh rumah di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam semalam dipercayai berpunca daripada masalah pedal minyak yang tersangkut di lantai kenderaan itu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, treler dipandu lelaki berusia 59 tahun itu dalam perjalanan dari sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam ke Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

“Semasa menuruni jalan industri Bukit Kayu Hitam-Ladang Rakyat, pemandu mendapati pedal minyak tersangkut di lantai.

“Dia cuba untuk memberhentikan treler, namun gagal menyebabkan kenderaan itu merempuh sebuah rumah. Lelaki terbabit yang merupakan warga Thailand ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, semasa rumah dirempuh, penghuni berada di dalam rumah tersebut dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kemalangan mengakibatkan kerosakan struktur bahagian depan rumah. Sebuah kereta dan motosikal milik mangsa mengalami kerosakan,” ujarnya.

Tambahnya, pemandu treler terbabit cedera di kepala dan mata manakala ujian urin mendapati negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×