BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra hadir ke Mahkamah Jenayah di sini hari ini, bagi sesi pendengaran pra perbicaraan kes menghina raja susulan kenyataan kontroversinya di Seoul pada 2015.
Hadir ke mahkamah dengan sut dan kemeja berwarna kuning yang menggambarkan kesetiaannya kepada monarki, pemimpin itu ketika disapa wartawan berkata, kes berkenaan dikemukakan terhadapnya selepas rampasan kuasa oleh tentera pada 2014.
“Tentera pada masa itu menggunakan undang-undang lèse majesté untuk memperkukuhkan kuasa,” katanya ringkas.
Terdahulu, menurut pegawai mahkamah, Thaksin secara peribadi perlu menghadiri prosiding itu bagi memeriksa bukti dikemukakan pihak pendakwaan.
Semalam, kerajaan Thailand memberikan pengampunan diraja kepada Thaksin dengan tempoh parolnya berakhir semalam.
Jutawan itu yang disabitkan dengan salah guna kuasa dan konflik kepentingan sebelum ini, dibebaskan secara parol pada Februari lalu selepas enam bulan berada dalam tahanan.
Sebelum ini, Peguam Negara Thailand dalam satu kenyataan rasmi mendakwa Thaksin kerana didakwa menghina raja.
Aduan itu dikemukakan tentera yang menggulingkan kerajaan adik Thaksin, Yingluck Shinawatra, susulan temu bual yang diberikan oleh taikun berpengaruh itu kepada media asing pada 2015.
Pendakwaan itu adalah antara 270 kes penghinaan terhadap raja, di bawah undang-undang yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun. – AGENSI










