Raikan Rukun Negara, asas jiwa merdeka

Raikan Rukun Negara, asas jiwa merdeka

RUKUN Negara penting bagi memastikan keamanan, keselamatan, dan kedamaian negara terpelihara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA berkumandangnya lagu Tanggal 31 Ogos, apa yang terlintas dalam fikiran kita adalah hari kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Stadium Merdeka ataupun laungan merdeka sebanyak tujuh kali. Namun ada satu lagi peristiwa penting yang kita sering lupakan iaitu pengisytiharan Rukun Negara.

Pada 31 Ogos 1970, pemasyhuran Rukun Negara sebagai Pengisytiharan Diraja disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong keempat.

Pengisytiharan Rukun Negara dibuat ekoran daripada rusuhan kaum yang tercetus pada 13 Mei 1969. Dilaporkan 196 orang kehilangan nyawa, dengan ratusan orang lagi mengalami kecederaan. Kerosakan bangunan, tempat tinggal dan harta benda awam tidak perlulah disebut, dengan jumlahnya melangkaui ratusan kes.

Waima rusuhan tersebut berlaku di sekitar Kuala Lumpur dan beberapa kawasan di Perak dan Selangor sahaja, peristiwa hitam itu tetap membawa satu impak yang besar. Ekoran daripada insiden tersebut, Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di bawah Klausa 2 Perkara 5.

Ordinan Darurat tersebut menghidupkan semula pelaksanaan undang-undang di bawah Kuasa Darurat 1966 untuk menghadapi sebarang konfrontasi serta memberi kuasa untuk menggubal undang-undang bagi meredakan situasi ketegangan yang berlaku.

Tetapi apa yang paling mengejutkan disebabkan peristiwa tersebut ialah penggantungan Parlimen dengan serta merta. Pentadbiran negara terpaksa diambil alih oleh sebuah jawatankuasa khas, Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Langkah-langkah drastik ini terpaksa dilaksanakan demi mengembalikan ketenteraman dan keharmonian dalam negara pada ketika itu. Hakikatnya, insiden tersebut menyedarkan pelbagai pihak, terutama para pemimpin negara tentang betapa halusnya tali perpaduan dalam kalangan rakyat.

Maka, di bawah pimpinan Pengarah Mageran, Tun Abdul Razak Hussein, isu-isu berkaitan masalah perpaduan kaum diberikan perhatian teliti, di samping mengembalikan ketenteraman dan keharmonian dalam negara.

Antara usaha yang diambil ialah penubuhan Jawatankuasa Rukun Negara pada Mac 1970.

Jawatankuasa ini diketuai oleh Tun Tan Siew Sin dan dianggotai seramai 11 orang pemimpin negara dari semua kaum. Hasil daripada perbincangan, dipersetujui untuk membentuk Rukun Negara melalui kertas Pillars of Nation (Rukun Negara). Tujuh tunjang utama yang ditekankan ialah ketuhanan, kesetiaan, keadilan, kewarganegaraan, keutuhan, kebahagiaan dan kesopanan.

Selepas melalui proses pemurnian terhadap draf tersebut, akhirnya Rukun Negara diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Negara, dengan beberapa pindaan pada awal Ogos 1970. Pada ulang tahun kemerdekaan ke-13, Rukun Negara diisytiharkan sebagai ideologi kebangsaan.

Rukun Negara merupakan intisari daripada Perlembagaan, undang-undang tertinggi negara kita. Setiap matlamat dan prinsip Rukun Negara mengingatkan kita agar menghormati kontrak sosial yang dipersetujui oleh kaum-kaum utama sewaktu
Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan 1957 digubal.

Bahkan Rukun Negara membimbing ke arah pembentukan warganegara cemerlang, dengan jati diri dan semangat patriotik dalam diri.

Secara tidak langsung, Rukun Negara menjadi tali perpaduan antara masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya. Sikap hormati-menghormati, terutamanya menerima persamaan dan perbezaan yang wujud dengan minda terbuka.

Cuba elakkan diri kita daripada terjerumus dalam sebarang konflik yang merugikan kita. Tidak tercatat langsung dalam sejarah manusia bahawa ada pihak yang mendapat kebaikan daripada perseteruan atau pertelingkahan. Bak kata peribahasa Melayu, kalah menjadi abu, menang menjadi arang.

FAHAMAN ETNOPOPULISME
Tetapi malangnya sejak kebelakangan ini, suasana keharmonian di negara ini semakin menipis. Perbuatan segelintir pihak menyebarkan fahaman etnopopulisme, iaitu pemisahan masyarakat mengikut kaum dan agama amat membimbangkan.

Sekiranya fahaman etnopopulisme ini tidak dibendung, ia mampu menghancurkan hubungan antara kaum. Lihatlah apa sedang berlaku di United Kingdom kini. Rusuhan berlaku di merata tempat kerana hilangnya semangat toleransi dan permuafakatan dalam kalangan masyarakat di sana.

Mahukah kita berhadapan dengan situasi tersebut di sini? Sudah tentunya tidak! Oleh itu, marilah kita kembali semula mendalami dan menghayati Rukun Negara agar hubungan silaturahim terus subur.

Dalam pada itu, tema Hari Kebangsaan ialah Malaysia Madani: Jiwa Merdeka bagi tahun ini. Tema ini amat bersesuaian dengan Rukun Negara yang menginginkan setiap rakyat Malaysia merdeka daripada segala sikap dan amalan yang tidak menguntungkan sesiapa pun.

Sebaliknya menanam nilai-nilai murni, inklusif dan progresif dalam diri agar kita dapat berganding bahu untuk mengukuhkan semangat kebersamaan dan kemakmuran bersama demi kestabilan tanah air tercinta.

Pendek kata, jadikanlah Rukun Negara sebagai panduan hidup kita bersama.

Selaras dengan prinsip kedua Rukun Negara, kesetiaan kepada raja dan negara, ayuh kita semarakkan Hari Kebangsaan tahun dengan mengibarkan Jalur Gemilang. Bahawa kita berbangga menjadi rakyat Malaysia.

Pohon ara di tepi perigi,
Tempat bermain si anak angsa,
Rukun Negara dijulang tinggi,
Perpaduan kaum mekar sentiasa.-UTUSAN

DR. M. Jayakumary ialah Pensyarah Akademik Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Ipoh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×