Telur goreng punca keracunan makanan - Utusan Malaysia

Telur goreng punca keracunan makanan

KASEMANI EMBONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Keracunan makanan yang berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Terengganu baru-baru ini disyaki berpunca daripada telur goreng yang didakwa telah berubah bau dan rasa.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, bagaimanapun pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian keracunan makanan tersebut.

Menurutnya, tindakan kawalan dan pencegahan bagi mengawal kejadian keracunan makanan itu telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terlibat.

“Kita terima laporan kejadian ini melibatkan pelajar-pelajar yang berumur antara 13 tahun hingga 17 tahun di sebuah sekolah berasrama pada 15 Ogos (Khamis lalu).

“Hasil siasatan mendapati, seramai 32 daripada 629 orang pelajar (5.1 peratus) telah mengalami gejala keracunan selepas makan malam di kantin sekolah, sehari sebelum itu.

“Gejala utama yang dilaporkan adalah loya, muntah, sakit perut, cirit-birit dan demam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan kebimbangan ibu bapa di sebuah SBP di Terengganu mengenai masalah keracunan yang didakwa sering berlaku sejak kebelakangan ini dengan kes terbaharu ialah pada Khamis lalu.

Justeru, ibu bapa berharap satu tindakan drastik akan dilakukan oleh pengurusan sekolah serta pihak berkuasa bagi mengelak perkara sama berulang lagi di masa akan datang.

Mengulas lanjut, Kasemani berkata, seramai 23 pelajar telah mendapatkan rawatan pesakit luar di hospital dan klinik kesihatan manakala dua kes telah dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

“Kedua-dua pelajar ini berada dalam keadaan stabil dan telah dibenarkan pulang,” katanya.

Tambahnya, kejadian keracunan makanan di kantin dan dapur asrama sekolah boleh dielakkan sekiranya pengusaha sentiasa memantau dan menyelia proses penyediaan makanan mengikut garis panduan keselamatan makanan yang telah disediakan.

“Pengusaha juga perlu memantau tahap kebersihan dan mengambil tahu dari mana sumber bekalan bahan makanan bagi memastikan keselamatan makanan di sepanjang rantaian bekalan adalah terkawal.

“JKNT juga ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan konsep lihat, hidu, dan rasa sebelum makan atau minum bagi mengelakkan kejadian keracunan makanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×