Program Kembara Merdeka KKDW pupuk semangat patriotisme - Utusan Malaysia

Program Kembara Merdeka KKDW pupuk semangat patriotisme

RUBIAH Wang ketika majlis penutup program sentuhan Kasih Desa Madani KKDW di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Program Kembara Merdeka yang dianjurkan sempena bulan Kebangsaan 2024 menjadi platform terbaik menyemarakkan semangat patriotisme dan rasa cinta kepada negara dalam kalangan komuniti desa.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata, pasukan kembara disertai 150 peserta itu telah memulakan konvoi selama sembilan hari bermula 12 Ogos lalu.

Beliau berkata, konvoi itu berjaya merentasi 11 negeri di Semenanjung sejauh 1,545 kilometer (km) dengan membawa bendera Jalur Gemilang.

“Dengan menjadikan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Melaka sebagai garis
permulaan, tujuan utama kembara ini adalah untuk menyampaikan mesej perpaduan dan taat setia serta cinta kepada tanah air.

“Program ini adalah bukti komitmen warga KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) untuk memperkukuhkan lagi ikatan persaudaraan dan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat desa,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup program Sentuhan Kasih Desa MADANI KKDW di sini hari ini.

Katanya, program kembara itu perlu diteruskan agar dapat memberikan manfaat kepada komuniti desa selaras hasrat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Rubiah berkata, aktiviti Bulan Kebangsaan 2024 KKDW turut diserikan dengan pelbagai program lain yang bertujuan membuka ruang dan peluang untuk komuniti bersama-sama mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang kreatif serta inovatif.

Menurutnya, antara program yang diadakan adalah jualan usahawan di Dataran Gemilang di Precint 4 di sini, pertandingan motosikal kapcai Merdeka, demonstrasi pasukan keselamatan dan seminar keusahawanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×