Bapa mangsa Sungai Kim Kim nafi masalah kesihatan anak sejak kecil jadi punca

Bapa mangsa Sungai Kim Kim nafi masalah kesihatan anak sejak kecil jadi punca

IDHAM Wazir (baju biru) mendengar penerangan peguamnya, Kamaruddin Ahmad sebelum memasuki kamar Mahkamah Tinggi Sivil, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bapa kepada Irfan Wafiy Idham Wazir, 17, menafikan anaknya yang menderita akibat Myokymia ketika pencemaran Sungai Kim Kim pada 2019 disebabkan masalah kesihatan sewaktu kecil.

Idham Wazir A Wahab, 53, berkata demikian pada perbicaraan penuh kes saman sivil pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Perbicaraan hari pertama saman sivil itu dijalankan di hadapan Hakim Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim.

Menurut Idham Wazir selaku saksi plaintif pertama, anaknya yang merupakan bayi pramatang dan diintubasi sejurus kelahiran pernah mengalami kekejangan disebabkan demam panas.

Katanya, walaupun anaknya pernah dimasukkan ke hospital akibat gejala itu ketika usia empat tahun, masalah kesihatan tersebut sudah hilang ketika menjangkau usia 11 tahun dan dia tidak pernah mengalami sawan.

Tambahnya, sebelum menderita Myokymia iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan beberapa anggota badan terutama kaki menggeletar serta lemah dan terpaksa bergantung kepada tongkat untuk bergerak, Irfan Wafiy merupakan seorang anak yang aktif selain gemar berenang dan melakukan aktiviti mendaki.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Peguam Kanan Persekutuan, Mohamed Azzam Zainal Abidin yang juga Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Johor mewakili defendan membabitkan Kerajaan Johor, Menteri Besar, Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor pada sesi soal balas.

Mohamed Azzam: Setuju tak dengan saya, berdasarkan laporan Hospital Kuala Lumpur (HKL) ini, tidak ada dapatan yang jelas bahawa keadaan Irfan Wafiy disebabkan sepenuhnya oleh gas yang dikatakan tercemar?

Idham Wazir: Tidak setuju.

Mohamed Azzam: Setuju tak dengan saya, keadaan-keadaan kesihatan yang dinyatakan sebelum ini yang ada pada Irfan Wafiy mungkin mempunyai kesan kepada kesihatannya pada hari kejadian?

Idham Wazir: Saya tak setuju. Sebab mengikut laporan kesihatan merujuk Irfan Wafiy pada usia empat tahun dan kejadian berlaku pada usia 11 tahun, dia tidak ada lagi masalah itu.

Mohamed Azzam: Berdasarkan laporan HKL, ia tidak secara konklusif mendapati bahawa Myokymia disebabkan oleh Irfan Wafiy menghidu sisa toksik atau gas kimia ketika berada di sekolah pada hari kejadian?

Idham Wazir: Tak setuju.

Mengulas mengenai kejadian itu, katanya, anak lelakinya mengadu mengalami sakit tekak, sukar untuk bernafas, loya dan menghidu bau yang kuat di sekolah pada 7 Mac 2019.

Dia menasihati anaknya untuk memakai pelitup muka apabila bersekolah seperti biasa sebelum dihubungi guru sekolah tersebut memaklumkan anaknya sesak nafas, pitam serta tidak boleh berdiri pada 13 Mac 2019.

Sambungan perbicaraan kes saman sivil RM30 juta yang sedang berlangsung itu adalah perbicaraan kedua selepas ia mula dibicarakan pada Januari lalu, dan berlangsung di hadapan Hakim Datuk Seri Samsulbahri Ibrahim.

Idham Wazir bersama 41 lagi plaintif kes itu diwakili peguam, Datuk Kamaruddin Ahmad, Walter Pereira dan Radiah Karim.

Peguam Kanan Persekutuan, Zetty Zurina Kamaruddin, Nurul Farhana Khalid dan Safiyah Omar pula mewakili Pengarah Alam Sekitar, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kerajaan Malaysia.

Sebelum ini, Jawatankuasa Bertindak Mangsa Gas Toksik Sungai Kim Kim dan Keluarga Mangsa Kes Toksik dilaporkan akan menuntut ganti rugi berjumlah RM30 juta daripada 12 defendan termasuk Kerajaan Johor dan Menteri Besar.

Ganti rugi itu membabitkan ganti rugi am dan khas, selain ganti rugi membabitkan tuntutan ke atas Irfan Wafiy, mangsa paling teruk terjejas yang kini menderita Myokimia menyebabkan sarafnya terganggu dan terpaksa bergantung pada tongkat, akibat kesan pencemaran sisa toksik pada Mac 2019. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×