PUTRAJAYA: “Buat masa ini, kami sekeluarga tidak mahu komen lanjut berhubung laporan akhir nahas itu,” kata Hafizy Aras Abd Azim, 41.
Hafizy adalah adik kepada Allahyarham Heikal Aras Abdul Azim, 45, salah seorang daripada 10 mangsa nahas udara pesawat Beechcraft yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos tahun lalu.
Menurut Hafizy, pihaknya tidak mahu mengulas lanjut mengenai laporan akhir nahas itu sebaliknya sedang berbincang dengan peguam sekiranya ada tindakan susulan mahu diambil.
“Kami sekeluarga reda dengan apa yang telah terjadi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Katanya, beliau sekeluarga merasakan ada perkara yang menimbulkan keraguan berhubung siasatan nahas itu namun, enggan mengulas lanjut.
Jelasnya lagi, beliau mendakwa sepanjang siasatan nahas itu, tiada seorang pun ahli keluarga dipanggil membantu siasatan.
Dalam nahas udara itu, Heikal Aras adalah juruterbang pesawat itu dan antara 10 mangsa yang terkorban termasuk bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun.
Laporan akhir nahas yang dikeluarkan Biro Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) semalam mendedahkan nahas terbabit disahkan berpunca daripada kehilangan kawalan semasa penerbangan disebabkan masalah protokol yang tidak disengajakan.
Ia juga mendedahkan punca utama kemalangan itu berkaitan dengan peluasan secara tidak sengaja daripada ‘lift dump spoilers yang berkemungkinan besar dilakukan oleh juruterbang semasa melakukan pemeriksaan sebelum pendaratan. – UTUSAN










