PETALING JAYA: Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang meramalkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dapat mengekalkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Kit Siang yang merupakan bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, semalam mencetuskan harapan untuk Malaysia bangkit semula sebagai sebuah negara bertaraf dunia yang hebat.
Menurut beliau, kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut juga menafikan bahawa Malaysia akan menjadi sebuah negara yang gagal.
“Anwar sebagai Perdana Menteri sudah mengatasi tiga Perdana Menteri terdahulu iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa tempoh kedua beliau memegang jawatan tersebut.
“Ia mencerahkan prospek Anwar untuk dipilih semula sebagai Perdana Menteri pada PRU16 yang dijangka diadakan pada tahun 2026 atau 2027,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan bergaya selepas calonnya Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas memperoleh undian keseluruhan 0,091 undi sekali gus merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.
Mohd. Azmawi menang dengan majoriti 3,352 undi sekali gus menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd. Rizwadi Ismail.
Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, dalam beberapa tahun kebelakangan ini Malaysia sudah mundur daripada prinsip kesederhanaan dan keterangkuman pembinaan negara seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan serta Rukun Negara.
Jelasnya, Malaysia seharusnya menjadi contoh kepada dunia dalam aspek perpaduan memandangkan negara terdiri dari pelbagai kaum, agama dan budaya.
“Keadaan Malaysia yang semakin buruk iaitu kepada polarisasi lebih besar digambarkan oleh beberapa contoh yang menunjukkan sikap tidak bertoleransi dan ekstremisme seperti digambarkan oleh beberapa kontroversi baru-baru ini.
“Seperti penyanyi wanita dilarang membuat persembahan di atas pentas di majlis kuil, peranan syarikat kilang arak dalam memudahkan acara mengumpul dana di sekolah Cina dan penyebaran pembohongan serta maklumat salah yang berterusan bahawa DAP mahu menghapuskan orang Melayu dan Islam dari Malaysia,” katanya. –UTUSAN










