PETALING JAYA: Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyindir langkah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ekoran kegagalannya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) semalam.
Shahrir yang merupakan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘memfranchisekan’ partinya dalam kempen PRK Nenggiri merupakan langkah luar biasa bagi mana-mana parti politik.
“Bayangkan fakta-fakta ini, calon Bersatu yang lompat masuk dari Pas kerana tidak ada tokoh parti itu yang boleh dipercayai. Biar politik katak sesama parti dari politik katak dalam Dewan?
“(Mereka juga menggunakan) lambang Pas dan bukan lambang Perikatan Nasional (PN),” katanya di dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, media melaporkan, Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan bergaya selepas calonnya Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie, menang pada PRK DUN Nenggiri sekali gus merampas semula kerusi DUN itu.
Mohd. Azmawi menang dengan majoriti 3,352 undi sekali gus menewaskan calon PN, Mohd. Rizwadi Ismail.
Mengulas lanjut, Shahrir berkata, kegagalan PN untuk mengekalkan kerusi tersebut walaupun kempennya dibantu oleh bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menandakan Bersatu sudah lemah di Kelantan.
“Annuar (merupakan pemimpin lama) yang terkenal seluruh Kelantan sebagai ‘ore parti’ memainkan peranan terpenting dalam kempen PRK ini. Lagi terbukti Bersatu di Kelantan lompong dan kosong.
“Jadi betul ke Muhyiddin adalah ‘Perdana Menteri in waiting’ dan PN sebuah ‘government in waiting’.
“Mengapa Pas bermain ‘hide and seek’? Ambil francais dari Bersatu, letak ahlinya sebagai calon lompat,” katanya. –UTUSAN










