SAO PAOLO: Aplikasi media sosial X mengumumkan bahawa media sosial tersebut akan menghentikan operasinya di Brazil berkuat kuasa serta merta, susulan perintah penapisan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Agung Brazil.
Aplikasi tersebut dimiliki jutawan Elon Musk mendakwa Hakim Alexandre de Moraes secara rahsia mengancam salah seorang wakil undang-undang syarikat tersebut di negara Amerika Selatan itu supaya ditangkap jika tidak mematuhi perintah undang-undang bagi mengeluarkan beberapa kandungan daripada platform media sosial tersebut.
Gergasi media sosial itu sebelum ini menerbitkan gambar dokumen yang didakwa ditandatangani oleh hakim tersebut, menyatakan denda harian sebanyak 20,000 reais (RM 16,185) dan arahan tangkapan akan dikenakan terhadap wakil X di Brazil, Nova Conceiao jika platform terbabit tidak mematuhi sepenuhnya arahan Moraes.
“Untuk melindungi keselamatan kakitangan kami, kami telah membuat keputusan untuk menutup operasi kami di Brazil berkuat kuasa serta-merta,” kata X.
Sementara itu, Mahkamah Agung Brazil enggan mengulas mengenai perkara itu dan tidak akan mengesahkan atau menafikan kesahihan dokumen yang dikongsikan oleh X.
Walau bagaimanapun, perkhidmatan X kekal tersedia untuk rakyat Brazil, demikian kata platform itu pada Sabtu lalu.
Pada awal tahun ini, Moraes mengarahkan X untuk menyekat akaun tertentu, kerana dia menyiasat apa yang dipanggil sebagai ‘militia digital’ yang telah dituduh menyebarkan berita palsu dan mesej yang berbaur kebencian semasa pemerintahan bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro.
Pada masa yang sama, Moraes membuka siasatan pada awal tahun ini ke atas jutawan tersebut selepas Musk berkata beliau akan mengaktif semula akaun di X yang telah diarahkan oleh hakim tersebut untuk disekat sambil menyifatkan keputusan hakim tersebut sebagai tidak berperlembagaan.
Peguam yang mewakili X di Brazil pada April memberitahu Mahkamah Agung bahawa “kesalahan operasi” telah membenarkan pengguna yang diarahkan disekat untuk kekal aktif di platform media sosial, selepas Moraes meminta penjelasan daripada laman sosial itu tentang mengapa ia didakwa tidak mematuhi keputusan sepenuhnya.
Musk, menerusi X pada Sabtu menggelar hakim tersebut sebagai menghina prinsip keadilan dan berkata syarikat itu tidak boleh bersetuju dengan penapisan rahsia dan tuntutan penyerahan maklumat peribadi. -AGENSI\










