Tiga DUN milik BN-PH dijadikan 'anak emas' Kerajaan Perpaduan - Utusan Malaysia

Tiga DUN milik BN-PH dijadikan ‘anak emas’ Kerajaan Perpaduan

ASYRAF Wajdi Dusuki
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang dimenangi oleh gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan dijadikan sebagai kawasan ‘anak angkat dan anak emas’ kepada Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu sering disebutkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahu gabungan itu mewakili rakyat secara efektif.

“Kita tunjukkan bahawa Kelantan boleh dijadikan contoh terbaik dengan menjadikan tiga DUN itu sebagai anak angkat dan anak emas kepada Kerajaan Perpaduan.

“BN tidak pernah bercakap sahaja dan kita kotakan janji. Tunggu Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani (Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri) berkhidmat di sini,” katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman kemenangan Mohd. Azmawi pada PRK DUN Nenggiri di Dewan Kompleks Majlis Daerah Gua Musang, di sini hari ini.

Terdahulu, Azmawi Fikri menang pada PRK sekali gus merampas semula kerusi DUN Nenggiri daripada Perikatan Nasional (PN) Mohd. Rizwadi Ismail.

Mohd. Azmawi menang dengan majoriti 3,352 undi menewaskan calon dengan memperoleh undian 9,091 undi manakala Mohd. Rizwadi 5,739 undi.

Selain Nenggiri, Galas merupakan DUN yang dimenangi BN sementara Kota Lama, PH.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×