PRK Nenggiri: Jumlah keluar mengundi lebih sasaran, cecah 71 peratus

PRK Nenggiri: Jumlah keluar mengundi lebih sasaran, cecah 71 peratus

LEBIH 70 peratus pengundi di Nenggiri keluar melaksanakan tanggungjawab dalam PRK semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Sebanyak 71.87 peratus pengundi dari jumlah keseluruhan pemilih yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu 20,259 orang keluar melaksanakan tanggungjawab Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri semalam.

SPR dalam satu kenyataan berkata, peratusan itu direkodkan setakat pukul 4 petang.

Menurut kenyataan itu, ia merupakan jumlah terakhir yang akan dilaporkan oleh pihak SPR.

Setakat pukul 6.30 petang semalam, keputusan tidak rasmi calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani menyapu bersih kesemua enam peti undi di kawasan penempatan Orang Asli.

Jumlah undi tidak rasmi menunjukkan BN meraih 1,852 undi manakala Pakatan Nasional (PN) memperoleh 282.

Peti undi itu ialah Kuala Sungai, Tohoi, Sungai Puian, Sungai Jenera, Simpor dan Sungai Wias.

Sementara itu, pemimpin PN, Tan Sri Annuar Musa dalam satu hantaran di Facebook mendakwa lebih 2,000 penyokong PN tidak keluar mengundi ‘gara-gara tempias berita pihak lain mendapat duit.’

Pun begitu Annuar tidak menjelaskan lanjut perkara itu.

Katanya, peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi itu mungkin memberi kelebihan kepada BN.

PRK ini dilangsungkan selepas penyandangnya Mohd. Azizi Abu Naim dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilucut hak sebagai ahli selepas melanggar peraturan dengan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus bertentangan dengan prinsip parti.

Ekoran itu, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengumumkan kekosongan luar jangka pada 13 Jun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas beliau menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada Bersatu mengenai pengguguran keahlian Mohd. Azizi.

PRK kali ini menyaksikan pertembungan dua pemimpin muda antara Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani dari BN, sementara PNyang menggunakan logo Pas mempertaruhkan Mohd. Rizwadi Ismail sebagai calon.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×