SUDAH menjadi kelaziman waktu malam menjadi masa terbaik untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga bagi kebanyakan orang. Namun, tidak bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim.
Beliau yang baru berkhidmat sebagai Yang Berhormat (YB) setahun lalu akan memastikan setiap Rabu pada sebelah malam sebagai masa terbaik penduduk di DUN berkenaan bertemu dengannya mengadu masalah dan isu-isu berbangkit di kawasan itu.

“Pejabat khidmat akan dibuka sampai pukul 11 malam pada setiap Rabu walaupun kita buka setap hari Selasa hingga Sabtu iaitu dari 10 pagi sehingga 6 petang.
“Saya mahu memberi peluang kepada penduduk bertemu saya terutama bagi mereka yang sibuk pada waktu siang,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu dengan majoriti 5, 694, beliau turut menjadikan ‘malam khidmat’ sebagai medium pemudahcara kepada penduduk yang berdepan dengan masalah tertentu.
“Kita akan jemput agensi tertentu sebagai contoh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk penduduk yang berdepan dengan isu berkaitan.
“Selain itu, kita sedang merancang untuk menjemput syarikat guaman dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk penduduk dapatkan bantuan dan nasihat dalam isu-isu tertentu,” katanya.
Beliau yang juga bekas Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tidak kekok untuk bertemu penduduk biarpun baru ‘setahun jagung’ menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.
“Saya juga pernah berkhidmat sebagai pegawai khas bekas DUN Kota Anggerik Dr. Yaakob Sapari yang juga guru saya dalam politik.
“Justeru pengalaman pada waktu itu banyak membantu saya dan ia dalam masa sama mematangkan saya,” jelasnya.
Dalam pada itu Muhammad Izuan berkata, DUN Kota Damansara turut terkenal dengan kawasan sektor perindustrian.
“Kita ada satu kawasan perindustrian di Kampung Sungai Buloh yang memberi sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga boleh mencecah RM 2 bilion setahun. Di sini memang banyak kilang dan antaranya perusahaan pembuatan perabot.
“Ini akan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk. Malah saya ada hubungan yang baik dengan kilang-kilang di sana. Oleh itu, kalau ada penduduk yang mencari kerja saya akan syorkan minta kerja di sana,” jelasnya.

Kedudukan DUN Kota Damansara yang terletak berhampiran dengan ibu negara dan kawasan berkepadatan tinggi turut memberi kesan kepada kemudahan asas serta infrastruktur.
Justeru beliau kini memberi perhatian isu kesesakan dan kerosakan di laluan tertentu termasuk di Subang dan kawasan sekitar Lapangan Terbang Subang.
Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa kemudahan lain juga telah dibangunkan untuk membantu meningkatkan sektor perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS).
“Kita baru robohkan satu kawasan perniagaan di Seksyen 6 yang tidak mempunyai lesen. Tetapi kita beri gerai sementara dan akan bina gerai makan baharu yang lebih kondusif serta mempunyai pelbagai kemudahan seperti surau dan tempat letak kereta.
Biodata
Nama: Muhammad Izuan Ahmad Kasim
Lahir: 18 Jun 1991
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda dalam undang-undang dan perniagaan
Jawatan:
ADUN Kota Damansara
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor
“Setakat ini peniaga sudah pindah ke kawasan sementara sehingga tempat tersebut dapat disiapkan. Kita jangka dua tahun gerai berkenaan akan siap,” terangnya.
Daripada segi kebajikan, katanya, DUN Kota Damansara sentiasa memberikan perhatian terhadap keperluan rakyat terutama melibatkan keperluan kesihatan.
“Apabila kita fokus dan lebih mesra dengan rakyat dengan memenuhi tuntutan mereka, ia mampu memberi kesan kepada kesejahteraan penduduk,” jelasnya. – UTUSAN











