Jadikan pendidikan hak cipta sebahagian kurikulum

Jadikan pendidikan hak cipta sebahagian kurikulum

KERATAN akhbar Utusan Malaysia, 3 Ogos 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Merujuk artikel Cetak rompak di sekolah yang dihalalkan terbitan Utusan Malaysia pada 3 Ogos lalu, topik ini menarik perhatian saya kerana ia membincangkan isu penting yang sering diabaikan iaitu amalan cetak rompak di sekolah. Cara ini seolah-olah mengajar pelajar supaya tidak jujur dan melanggar undang-undang sedangkan sekolah adalah pusat ilmu untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang amanah dan berintegriti.

Mungkin niat guru-guru baik untuk membekalkan sumber latihan dan rujukan dengan harga yang murah, tetapi dalam masa yang sama ‘mengizinkan’ pelajar melanggar undang-undang.

Budaya ini akan berterusan ketika pelajar ini bekerja nanti. Mereka mungkin akan memandang enteng soal hak cipta serta hak intelektual, menjadikan amalan ini sesuatu yang lumrah dan diterima tanpa soal.

Kita faham, ramai pelajar yang menghadapi masalah kewangan untuk membeli buku tetapi harus juga faham tentang khidmat bakti penulis dan syarikat penerbitan.

Penulis mengerahkan tenaga, masa, idea malahan kewangan dalam menyiapkan penulisan sesebuah buku. Penerbit pula terpaksa mengeluarkan modal yang besar untuk menghasilkan sesebuah buku. Tanpa sokongan yang sewajarnya, industri penerbitan buku akan terjejas dan ini akan memberi kesan buruk kepada ekosistem pendidikan secara keseluruhan.

Sepatutnya, penulis menerima royalti dan penerbit mendapat sedikit keuntungan. Dengan ini, industri penerbitan buku akan terus berkembang dan menguntungkan pelajar, guru mahupun sistem pendidikan itu sendiri.

Sudah sampai masa Kementerian Pendidikan dan agensi berkaitan mengambil tindakan sewajarnya agar budaya ‘songsang’ ini dapat dihapuskan. Langkah proaktif perlu diambil untuk memastikan kesedaran tentang hak cipta dan kepentingan menghormati hak intelektual ditanam dalam minda pelajar sejak di bangku sekolah.

Pendidikan tentang hak cipta harus dijadikan sebahagian daripada kurikulum agar pelajar memahami implikasi undang-undang dan moral terhadap cetak rompak.

Dapatkanlah ilmu daripada sumber yang halal. Semoga ilmu yang diperoleh itu membawa keberkatan.-UTUSAN

CHE RAHMAH AHMAD
Taman Bintang, Parit Sulong, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×