DOHA: Rundingan gencatan senjata akan disambung semula hari ini, ketika angka korban akibat pencerobohan Israel selama 10 bulan di Gaza melepasi 40,000 orang.
Rundingan yang bermula semalam adalah bertujuan menghentikan perang Israel-Hamas dan memastikan pembebasan puluhan tebusan, yang berpotensi untuk mengelakkan konflik serantau lebih besar.
Hamas, yang enggan mengambil bahagian secara langsung, menuduh Israel menambah tuntutan baharu pada cadangan sebelumnya yang sudah mendapat sokongan Amerika Syarikat (AS) dan antarabangsa serta dipersetujui secara dasar oleh kumpulan pejuang itu.
Jurucakap Keselamatan Negara AS, John Kirby berkata, rundingan yang disifatkan penting itu dijangka berlanjutan hingga hari ini.
Beliau berkata, banyak perkara masih perlu dibincangkan dalam rundingan yang kompleks itu terutamanya cara pelaksanaan yang berkesan, lapor AP.
Kirby berkata, rundingan tersebut adalah penting bagi menamatkan perang yang sudah lama berlarutan.
“Halangan yang selebihnya boleh diatasi, dan kita mesti menutup proses ini dengan memuktamadkan perjanjian gencatan senjata,” katanya.
Rundingan yang dilaksanakan selama berbulan-bulan antaranya menuntut Hamas membebaskan tahanan Israel di wilayahnya.











