TAIPEI: Gempa bumi berukuran 6.1 skala Richter melanda pantai timur Taiwan awal hari ini, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Pada awalnya, Pentadbiran Cuaca Pusat (CWA) Taiwan melaporkan gegaran berukuran 6.3 skala Richter.
Gempa tersebut berlaku pada pukul 7.35 pagi (waktu tempatan) dengan kedalaman 15 kilometer berhampiran bandar Hualien.
CWA juga mengeluarkan amaran melalui telefon bimbit, menggesa orang ramai untuk kekal tenang dan memastikan keselamatan masing-masing.
Agensi Bomba Kebangsaan Taiwan dalam kenyataan, mengesahkan tiada laporan kerosakan dilaporkan setakat jam 8 pagi.
Pulau tersebut kerap mengalami gempa bumi kerana lokasinya di antara dua plat tektonik.
Gempa besar terakhir berlaku pada awal April, berkekuatan 7.4 skala Richter, yang disifatkan terkuat dalam tempoh 25 tahun.
Sekurang-kurangnya 17 orang maut dalam gempa tersebut, yang mencetuskan tanah runtuh dan merosakkan bangunan di sekitar pusat gempa berhampiran Hualien.- AFP











