Tidak perlu permit SPAN untuk masuk tender

Tidak perlu permit SPAN untuk masuk tender

ABD. Gapar Lambak (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Ir. Razali Kassim (tengah) untuk diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada majlis makan malam Mesyuarat Agong PKMM Pahang Kali-40 di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Lebih 250,000 kontraktor kelas G1 hingga G7 lega selepas tidak lagi perlu memohon permit Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk memasuki tender atau sebut harga bagi projek-projek bekalan air.

Naib Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Abd. Gapar Lambak berkata, berita gembira itu diketahui kontraktor tahun ini, setelah 10 tahun diperjuangkan persatuan.

Beliau berkata, pemansuhan syarat terbabit melegakan kontraktor daripada bebanan bayaran permit SPAN yang agak tinggi dan berbeza mengikut kategori iaitu C1 RM5,000 setahun, RM2,000 (C2), RM750 (C3) dan RM200 (C4).

“Sebelum ini permit SPAN C1, C2, C3 dan C4 wajib bagi semua kontraktor untuk masuk tender atau sebut harga membabitkan projek-projek paip atau bekalan air.

“Bayaran permit terbabit bukan sahaja mahal malah ia perlu diperbaharui setiap tahun oleh kontraktor walaupun tidak ada projek.

“Sekarang tidak perlu permit untuk masuk tender atau sebut harga. Ia hanya diperlukan setelah kontraktor memperoleh projek. Ini perjuangan kita sejak sekian lama demi keadilan semua kontraktor,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada Mesyuarat Agong PKMM Pahang Kali-40 di sini semalam.

Abd. Gapar berkata, pemansuhan permit SPAN untuk tender atau sebut harga projek bekalan air terbabit membantu golongan kontraktor yang ketika ini perlu berdepan dengan harga bahan-bahan binaan yang semakin meningkat.

Sementara itu, beliau berkata, PKMM meletakkan harapan tinggi kepada kerajaan negeri agar projek dan kerja-kerja pembinaan mengutamakan kontraktor tempatan.

Beliau yang juga Yang Dipertua PKMM Pahang berkata, persatuan berkenaan mencadangkan agar beberapa penambahbaikan pemilihan kontraktor anak tempatan adalah dinilai lebih tinggi kreditnya sehingga sekitar 20 peratus tambahan dalam penilaian kontraktor tempatan.

“Turut dicadangkan oleh PKMM beberapa nilai tambahan khas agar kontraktor tempatan diberikan perhatian dalam pemilihan sebarang tender di ne­geri sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN