Tiada impak manifesto Perikatan Nasional di Nenggiri

Tiada impak manifesto Perikatan Nasional di Nenggiri

PERIKATAN Nasional (PN) mempertaruhkan KHIDMAT sebagai tawaran kepada rakyat Nenggiri sekiranya calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd. Rizwadi Ismail menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, 17 Ogos ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd. Rizwadi Ismail, mengumumkan manifesto yang mengandungi 37 tawaran meliputi tujuh bidang fokus yang dirujuk dengan akronim KHIDMAT.

Manifesto itu meliputi tujuh bidang fokus iaitu peneroka, Orang Asli, anak muda, warga emas, kampung tradisi dan usahawan. Bagaimanapun, berdasarkan maklum balas daripada pengundi Nenggiri, manifesto itu tidak memberi apa-apa impak kepada mereka yang telah lama menyaksikan janji-janji manis daripada Kerajaan Negeri Kelantan yang tidak ditunaikan. 

Seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pembangkang di DUN Kelantan merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang dan ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, jajahan Gua Musang, termasuk Nenggiri, seolah-olah hanya dijadikan mesin juruwang automatik (ATM) oleh Kerajaan Negeri Kelantan untuk mendapatkan dana melalui penerokaan balak tanpa sebarang pulangan yang nyata kepada rakyat setempat.

Jelas beliau, melalui permohonan kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), pihaknya berjaya mengesan tidak kurang dari 54 kelulusan penerokaan hutan diberikan sejak 2022. Keluasan yang terlibat melebihi 33,000 ekar (13,354.6 hektar) kawasan hutan di Gua Musang dan kebanyakan penerokaan ini melibatkan kawasan hutan Ulu Nenggiri, Mukim Bertam, manakala rakyat di bawah bergelut sekian lama untuk mendapat geran milik tanah.

Bukti janji-janji manis Kerajaan Negeri Kelantan yang tidak ditunaikan ialah janji pembinaan Bandar Perabot yang digelar Madinatul Athasi yang upacara pecah tanahnya dibuat oleh Menteri Besar waktu itu, Datuk Ahmad Yakob, pada 10 September 2020 tetapi sehingga sekarang tiada sebarang gerak kerja dilaksanakan walaupun syarikat MCkift Management Committee Sdn. Bhd. sebagai penggerak projek itu dianugerahkan 141 hektar tanah tapak Bandar Perabot dengan komitmen untuk pembinaan tiga kilang yang akan dimulakan pada pertengahan 2022.

Syarikat itu juga diberikan tiga projek Ladang Hutan seluas 1,169 hektar, iaitu 400 hektar di Sungai Berok, Ulu Nenggiri serta 366 hektar dan 404 hektar di Sungai Betis, Ulu Nenggiri.

PN menyalahkan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) kerana dikatakan gagal menyelesaikan penyerahan tanah kepada peneroka tetapi Pengerusinya, Datuk Zawawi Othman, berkata proses pindah milik itu memakan masa kerana perlu mengikut prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Ketua UMNO Bahagian Gua Musang selaku Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) di Nenggiri, Tengku Razaleigh Hamzah, pula menyatakan Kerajaan Negeri Kelantan sengaja menyulitkan pemilikan tanah untuk rakyat di Kelantan Selatan dengan memberi geran besar tanah kepada Kesedar setelah premium dibayar, namun kemudian seolah-olah tidak mahu geran hak milik diserahkan kepada peneroka mengikut lot-lot kecil.

Isu-isu yang ditimbulkan ini malangnya tidak mendapat jawapan daripada Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan. Dalam isu kelulusan penerokaan hutan, beliau semacam mengesahkannya dengan berkata mengikut maklumat yang diperoleh daripada EIA hanya 48 kelulusan penerokaan hutan di Nenggiri, bukan 54. Walaupun bilangan sebenarnya berbeza tetapi ini adalah satu pengesahan dan 48 kelulusan adalah bilangan besar. 

Dalam isu Bandar Perabot, beliau sekadar menyebut selepas dilancarkan, negara berdepan dengan krisis Covid-19 menyebabkan kerja-kerja tidak dapat dilaksanakan untuk beberapa tahun, status pembinaan itu berada dalam proses Unit Pelaburan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan tiada jangkaan bila Bandar Perabot akan siap kerana ia berkembang dari masa ke semasa.

Dalam isu pemilikan tanah, beliau menyebut Kerajaan Negeri Kelantan berhak mengambil balik tanah itu daripada Kesedar serta akan mempertimbangkan cadangan pemberian terus kepada peneroka. Beliau baru memikirkan untuk menubuhkan jawatan kuasa khas bagi melihat kembali perkara ini sedangkan jika betul ia mahu menyelesaikan perkara ini ia sepatutnya sudah diselesaikan sewaktu pemimpin Pas, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz, menjadi Pengerusi Kesedar.

Sebab itu pengundi Nenggiri tidak terpukau dengan janji-janji dalam manifesto PN di Nenggiri.

 

REKOD UMNO LEBIH BAIK

Janji PN kepada Orang Asli juga tidak ada kesan besar kerana kerajaan negeri tidak mempunyai rekod perkhidmatan yang setara dengan UMNO dalam membela nasib golongan ini. UMNO mempunyai sejarah panjang dalam menjaga kepentingan masyarakat Orang Asli di Nenggiri berbanding kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan masalah mereka selama ini sehingga mereka terpaksa membawa kes ke mahkamah. 

Strategi sasaran berkelompok terhadap pengundi yang digunakan oleh UMNO bagi mendapatkan sokongan pengundi dalam PRK Nenggiri berbanding ceramah umum juga didapati berkesan.

PN berbangga dengan ceramah umum tetapi berdasarkan pengalaman lepas hasilnya tidak berkesan kerana ia lebih banyak dihadiri oleh orang luar. Sebaliknya, sasaran berkelompok membolehkan UMNO menyampaikan mesej yang lebih personal dan relevan kepada kumpulan pengundi tertentu. Ini memberikan peluang untuk memahami keperluan, kebimbangan dan aspirasi setiap kumpulan, lalu menawarkan solusi yang lebih spesifik.

Melalui sesi berkelompok, pengundi berpeluang bertanya soalan dan berkongsi pandangan mereka secara langsung dengan calon atau wakil UMNO, mencipta dialog yang lebih berkesan dan membina hubungan yang lebih kukuh antara calon dan pengundi. Ini penting untuk meyakinkan pengundi bahawa calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan Gua Musang, adalah calon terbaik untuk membawa perubahan di Nenggiri.

Kesimpulannya, janji-janji manifesto PN di Nenggiri tidak memberi impak kepada pengundi, ditambah pula dengan strategi kempen berkelompok UMNO yang lebih relevan dan berkesan dalam menjangkau pengundi sekali gus mencerahkan peluang UMNO untuk menang.-UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Rusdi Omar adalah penganalisis politik Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×