PADA Sabtu ini, bakal berlangsung Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
DUN Nenggiri terletak di selatan Kelantan, merupakan kawasan yang masih belum membangun di daerah Gua Musang. Dalam PRK kali ini aspek pembangunan dan kemajuan adalah asas untuk berkempen sebagai tarikan kepada pengundi. Sebaliknya, ada aspek-aspek lain yang mampu memberi kelebihan kepada calon Barisan Nasional (BN) Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani atau calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Rizwadi Ismail.
Namun, tinjauan awal seperti dilaporkan menunjukkan pengundi akui sukar untuk memilih antara kedua-dua calon kerana masing-masing ada kelebihan. Antara lain kedua-dua calon dilihat berjiwa rakyat dan sudah dikenali dalam kalangan penduduk di kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, analisis saya mengambil kira beberapa aspek yang memberi petunjuk jalan sukar kepada calon BN untuk memenangi kerusi DUN Nenggiri.
Sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ke-15 pada 12 Ogos 2023, kerusi DUN ini adalah kubu kuat BN/UMNO. Tetapi, dalam PRN 2023, kerusi ini dimenangi calon PN/Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Azizi Abu Naim dengan majoriti 810 undi mengatasi calon Ab. Aziz Yusoff (BN-UMNO). Disebabkan Mohd. Azizi menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, keahliannya dalam Bersatu digugurkan menyebabkan PRK perlu diadakan.
PRK ini lebih kepada pertembungan antara PN dengan calon Kerajaan Perpaduan. Di pihak Kerajaan Perpaduan, beberapa usaha dilakukan bagi menarik sokongan pengundi. Antaranya menyelesaikan isu pemilikan rumah generasi kedua dan ketiga di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar). Di pihak PN pula mengesyorkan agar tanah seliaan Kesedar diberi terus oleh kerajaan negeri kepada peneroka.
Bahkan isu air bersih juga tidak diketepikan. Ia dilihat terus menghantui rakyat di Kelantan. Selain isu-isu ini, turut menghangatkan suasana berkempen termasuklah penggunaan helikopter hingga pakaian jenama mewah serta keperluan mesin perkhidmatan pengeluaran wang automatik (ATM).
Saya juga tertarik dengan isu mesin ATM ini. Sindir menyindir berlaku antara pemimpin BN dan PN dalam perkara ini. Walaupun isu ini nampak kecil bagi mereka khususnya berada di bandar, tetapi kemudahan mesin ATM bagi kawasan-kawasan terpencil dan pedalaman merupakan suatu keperluan. Jika hendak mengeluarkan wang, mereka perlu pergi ke bandar Gua Musang yang agak jauh dari tempat mereka. Jika tiada kenderaan, keadaan lebih menyulitkan apatah lagi jika dilihat keadaannya di pihak Orang Asli.
Di sini isu tempatan lebih diberi perhatian. Selain isu mesin ATM, kawasan DUN Nenggiri masih memerlukan banyak pembangunan asas, pendidikan dan masa depan masyarakat Orang Asli. Orang Asli kini menghadapi tekanan kerana isu pencerobohan tanah dan pembalakan.
Jadi, isu tanah dan pembalakan ini sepatutnya menjadi fokus dalam berkempen bagi menarik sokongan Orang Asli. Hal ini memandangkan pengundi Melayu sudah tentunya ekstrem kepada PN/Bersatu.
Pengaruh Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) sepatutnya digunakan sebaik mungkin oleh BN/UMNO. Orang Asli cukup menghormati Ku Li kerana dianggap sebagai ‘anak raja kita’ yang sudah tertanam sejak sekian lama walaupun beliau tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di kerusi Parlimen Gua Musang. Andai pengaruh Ku Li ini dapat dimanfaatkan, maka dipercayai dapat memberi kelebihan kepada calon BN/UMNO itu.
Jarang diberi perhatian dalam analisis pilihan raya adalah mengenai etos budaya Melayu Kelantan itu sendiri. Etos budaya Melayu Kelantan adalah mereka lembut tetapi bengis atau bengkeng. Lembut apabila orang luar khususnya memahami dan menghormati nilai, budaya dan cara hidup mereka. Mereka boleh menjadi bengkeng jika apa yang berlaku itu tidak menepati nilai dan kehidupan mereka. Mereka dilihat sanggup bergaduh kerana politik.
ETOS BUDAYA
Kesan didikan dan doktrin politik oleh Pas menjadikan Melayu Kelantan dengan etos budaya yang sedia ada, mereka sukar menerima kehadiran pemimpin BN, PKR dan DAP. Kehadiran pemimpin dari Kerajaan Perpaduan menjadi toksik dalam kempen calon BN/UMNO walaupun pelbagai gula-gula politik yang dijanjikan. Hal ini menyebabkan saya berpendapat PRK ini amat sukar kepada calon BN/UMNO untuk menang.
Dua hari sebelum penamaan calon, Mohd Rizwadi mengumumkan keluar Pas dan menyertai Bersatu. Ia berupa tindakan melompat parti. Pelbagai komen dapat dilihat berkenaan perkara ini. Sebenarnya ini adalah strategi politik PN. Kuota DUN Nenggiri untuk Bersatu, tetapi Pas berpendapat mereka ada sokongan kuat di situ. Demi perpaduan dalam PN, pilihan terbaik adalah Mohd Rizwadi. Ini adalah konsep tawar-menawar, setia kawan dan ‘situasi menang-menang yang dipamerkan oleh Pas dan Bersatu. Situasi ini sangat menyulitkan bagi calon BN/UMNO untuk menang.
Dari segi jumlah pengundi berdaftar di DUN Nenggiri kini adalah 20,259 berbanding 20,219 dalam PRN Kelantan tahun lalu. Kumpulan pengundi terbesar dalam lingkungan umur 21 hingga 39 tahun sebanyak 53.38 peratus. Dari segi komposisi etnik, pengundi Melayu sebanyak 17,369 orang atau 85.73 peratus dan Orang Asli pula sebanyak 2,738 orang atau 13.51 peratus. Jika dinilai dari segi etnik, difahamkan pengundi Melayu majoritinya akan mengundi calon PN walaupun calon BN mendapat sokongan PKR dan DAP. Harapan BN hanya kepada undi Orang Asli – jika boleh memanfaatkan sentimen dan kedudukan Ku Li.
Dalam PRK ini berdasarkan kepada sentimen di atas, saya melihat amat sukar bagi calon BN untuk memenangi kerusi DUN Nenggiri. Salah satu faktor kekuatan kepada calon PN adalah kesefahaman antara Pas-Bersatu yang menjadi kelebihan kepada mereka untuk mengekalkan kerusi ini kepada Bersatu.
Walau bagaimanapun, perkara yang paling dibimbangi iaitu kadar turun mengundi yang rendah dan beberapa tindakan sabotaj. Andai itu berlaku, PN berhadapan sedikit kesukaran. Jadi, bersamalah menanti hari pengundi pada 18 Ogos ini.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Malike Brahim ialah Ketua Unit Kajian Kepimpinan Madani Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).










