Majukan ekosistem pendidikan anak Orang Asli

Majukan ekosistem pendidikan anak Orang Asli

SEMPENA sambutan Hari Orang Asli Sedunia 2024, adalah penting hak Orang Asli, khususnya dalam pendidikan, dihormati dan dilindungi. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

HARI Antarabangsa Orang Asli Sedunia, yang disambut pada 9 Ogos menekankan keperluan mendesak untuk kita menangani cabaran pendidikan yang dihadapi oleh komuniti Orang Asli di Malaysia. 

Walaupun pelbagai usaha dilakukan, kita masih melihat pelajar Orang Asli terus menghadapi halangan besar dalam mendapatkan pendidikan berkualiti, yang memberi kesan serius terhadap kemajuan akademik dan kesejahteraan mereka secara keseluruhan.

Kekurangan representasi ini meminggirkan pelajar Orang Asli dan menghalang penglibatan serta kejayaan akademik mereka. Kurikulum, termasuk kandungan pembelajaran dan penilaian, mesti merangkumi konteks serta budaya unik komuniti Orang Asli. Ini akan menyokong kemajuan pendidikan mereka sambil menghormati dan mengekalkan identiti budaya golongan berkenaan.

Tumpuan dan usaha harus diberikan kepada suara Orang Asli supaya menghapuskan halangan kepada pembelajaran terangkum. Proses yang kompleks ini memerlukan kerjasama strategik dan penciptaan bersama dalam kalangan pihak berkepentingan. Dengan mengintegrasikan pengalaman Orang Asli, kita dapat mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih terangkum dan menyokong kepelbagaian latar belakang.

Beberapa seksyen dalam Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) kurang jelas, yang mewujudkan cabaran besar bagi komuniti ini. Sebagai contoh, ketiadaan definisi yang tepat untuk ‘memudaratkan’ dalam Seksyen 15(1) membuka ruang kepada tafsiran dan penyalahgunaan secara sewenang-wenangnya. Begitu juga, kekaburan Seksyen 14(1) dalam mendefinisikan ‘kebajikan’ dengan cara yang selaras dengan nilai budaya dan komuniti Orang Asli.

Terdapat keperluan mendesak untuk Tatacara Pengendalian Piawai yang konsisten di peringkat persekutuan dan negeri, terutamanya antara Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kekurangan ini menghalang keberkesanan pelaksanaan program yang bertujuan untuk pemberdayaan pelajar Orang Asli.

Capaian kepada data yang menyeluruh dan tepat mengenai laluan pendidikan pelajar Orang Asli adalah penting. Ini termasuk maklumat tentang laluan selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pilihan pendidikan menengah selepas tingkatan 3 dan keputusan pencapaian pendidikan. 

Penghentian penilaian formal seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menjejaskan lagi pemahaman terhadap kemajuan akademik pelajar Orang Asli. Kami berharap KPM boleh bekerjasama secara terbuka dengan rakan kongsi luar untuk meningkatkan penilaian prestasi akademik dan memberikan penjelasan tentang data dalam menilai kedua-dua program semasa dan yang terdahulu. Asas kerjasama ini perlu dibina atas dasar matlamat bersama yang jelas, dengan pengiktirafan terhadap peranan dan kebertanggungjawaban pelbagai pihak berkepentingan.

Mewujudkan platform untuk suara Orang Asli didengari dalam proses membuat keputusan akan meningkatkan perkaitan dan keberkesanan inisiatif pendidikan. Ibu bapa, sebagai penyampai pengetahuan, memainkan peranan penting dalam menggerakkan pengetahuan Orang Asli.

Penglibatan mereka dalam kandungan pembelajaran, berdasarkan pengetahuan asli tentang hutan, kelestarian dan alam semula jadi adalah sangat berharga.-UTUSAN

RYAN PANICKER

Penolong Pengurus IDEAS Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×