GUA MUSANG: Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri perlu memberikan kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 17 Ogos ini untuk menghantar isyarat kepada Perdana Menteri bahawasanya rakyat terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.
Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu menunjukkan rakyat Nenggiri mengetahui apa yang berlaku sekarang adalah sesuatu yang amat buruk.
Menurutnya, susulan kenaikan kos sara hidup bawah pentadbiran kerajaan ketika ini rakyat mengharapkan PN segera mengambil alih Putrajaya.
“Saya pergi ke mana-mana ada rakyat yang jumpa saya tanya Tan Sri bila lagi nak ambil alih kerajaan semula.
“Itu dia tanya, maknanya rakyat tak tahan dengan pentadbiran kerajaan hari ini,” katanya semasa berceramah di Nenggiri.
PRK Nenggiri Sabtu ini menyaksikan satu lawan satu antara calon PN Mohd Rizwadi Ismail dengan Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani dari Barisan Nasional (BN).-UTUSAN.










