KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aufahanie memaklumkan tiga anggota keluarganya iaitu bapa, adik dan abang iparnya dipanggil polis untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Kata Aufa, keterangan yang diambil sebagai sebahagian proses siasatan bagi mengetahui sama ada berlaku unsur jenayah atau sebaliknya terhadap kematian abangnya, Nidza Afham.
“Soal siasat sedang dilakukan untuk mengetahui sama ada berlaku unsur jenayah atau tidak.
“Ayah, adik dan abang ipar dipanggil polis untuk beri keterangan,” kongsinya.
Nidza, kelmarin dilaporkan hilang ketika keluar bersenam di stadium Klang, dekat sini.
Bagaimanapun, arwah ditemukan tidak bernyawa di sungai Klang kurang 24 jam selepas kehilangannya.
Sementara itu, Aufahanie atau Nur Aufahanie Mokhtar, 21, turut berkongsi keadaan teman wanita arwah, Hazmiera, yang tidak stabil susulan menerima khabar duka tersebut.
“Dia adalah orang terkahir yang menerima mesej daripada abang dan orang pertama tahu mengenai kehilangannya.
“Jika bukan kerana dia, keluarga juga tidak sedar akan kehilangannya.
“Emosinya sekarang tidak stabil dan dia sekarang ada bersama ibu kami,” kongsinya. – UTUSAN











